KUALA LUMPUR – MKDS Grand CME 2026 berjaya menghimpunkan barisan pakar dan doktor berpengalaman daripada pelbagai disiplin termasuk endokrinologi, nefrologi dan pembedahan plastik sebagai kepentingan pengurusan obesiti yang komprehensif berasaskan bukti.
Pengarah Urusan MKDS, Prof Adjung Dr. Nuraishah Hanani Abdul Ghani berkata, selain penglibatan aktif doktor itu, seluruh pasukan sokongan Megaklinik Dr Suffian (MKDS) turut memainkan peranan penting dalam memastikan program ini berjalan dengan lancar menerusi satu sesi Pendidikan Perubatan Berterusan.
Menurut beliau, ia merupakan salah satu usaha MKDS dalam memastikan doktor dan seluruh pasukan perubatannya sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam bidang pengurusan obesiti khususnya dari aspek farmakoterapi, rawatan, pemilihan intervensi serta penjagaan pesakit secara menyeluruh.
“Bersama pasukan pengurusan dan perubatan MKDS, kami turut memainkan peranan dalam memperkukuh aspirasi organisasi untuk membangunkan perkhidmatan pengurusan obesiti yang berasaskan ilmu, bukti dan perkembangan perubatan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara tarikan utama penganjuran MKDS Grand CME 2026 yang diadakan selama dua hari baru-baru adalah perkongsian daripada pakar endokrinologi, Prof. Dr. Norlela Sukor dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang mengetengahkan aspek metabolik dan hormon yang berkait rapat dengan obesiti termasuk pengurusan diabetes serta komplikasi.
Perkongsian turut melibarkan Prof Madya Dr. Wan Ahmad Hafiz, Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Bahagian Nefrologi Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menekankan hubungan rapat antara obesiti, diabetes dan kesihatan buah pinggang.
Sementara itu, perspektif pembedahan plastik disampaikan oleh Dr. Wan Syazli, Pakar Perunding Bedah Plastik, Avisena Hospital Shah Alam, khususnya berkaitan pengurusan pesakit selepas penurunan berat badan yang ketara, masalah lebihan kulit dan perubahan fizikal yang memerlukan penilaian serta pengurusan yang bersesuaian.
Mengulas lanjut, Dr. Nuraishah Hanani berkata, selain perkongsian daripada pakar jemputan, para doktor MKDS turut mengambil bahagian secara aktif dalam sesi perkongsian dan perbincangan klinikal dalam pengurusan obesiti.
Katanya, komitmen MKDS terhadap pengembangan ilmu turut diperluas ke peringkat antarabangsa apabila doktornya diberi peluang menyertai persidangan seperti European Association for the Study of Obesity (EASO) di Istanbul dan ISSCA Peptide World Congress di Peru. – MalaysiaGazette
















