FB Siti Nurhaliza

KUCHING – Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menepati ramalan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) malam ini selepas menggondol trofi kategori Lagu Terbaik, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon muzik tanah air.

Siti Nurhaliza, 47, memenangi kategori itu menerusi karya agungnya Pesanan Buat Diri yang turut menguasai kategori Lagu Tradisional Terbaik.

Penyanyi popular itu turut memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma dan Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik (Cenderamaya).

Sementara itu, penyanyi muda yang meningkat naik dan berbakat besar, Aisha Retno, turut mencipta kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik menerusi album sulungnya Re.Hab selain turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi (O.R.B.I.T).

Turut mencuri tumpuan, penyanyi Mimi Fly menggengam lima trofi apabila dinobatkan sebagai pemenang Lagu Perayaan Terbaik menerusi Serumpun, selain meraih kejayaan kategori Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di Tiktok (Serumpun), Video Muzik Terbaik (Temberang), Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Nara) serta Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik (Temberang).

Dalam pada itu, Mawat pula dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Lagu Borneo Terbaik yang disampaikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kemenangan menerusi karya Dayang Bintang menjadikan penyanyi itu sebagai artis pertama merangkul kategori baharu yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya dalam sejarah AIM, sekali gus mengangkat bahasa, budaya dan identiti muzik Borneo ke pentas anugerah nasional.

Acara kemuncak pada malam itu adalah penganugerahan Anugerah Sri Wirama kepada penyanyi Ella sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam industri muzik tanah air. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here