SHAH ALAM – Kerajaan meluluskan segera peruntukan RM2.5 juta bagi menaiktaraf sempena penukaran nama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya kepada UiTM Tun Arshad Ayub.
Pengumumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai langkah menghidupkan semula serta menyemarakkan perjuangan dan agenda universiti itu.
Anwar berkata, peruntukan tersebut diumumkan sempena Himpunan Alumni UiTM yang berlangsung di kampus universiti berkenaan di sini hari ini.
Menurut beliau, sambutan tersebut bukan sekadar acara untuk mengenang sejarah dan jasa institusi berkenaan, sebaliknya perlu menjadi pencetus kepada usaha menghidupkan semula semangat perjuangan serta seruan yang dibawa UiTM.
“Bukan sekadar melepaskan rindu-rindu, tetapi menghidupkan semula, menyemarakkan semula api perjuangan dan saranan serta seruan.
“Dan sebagai permulaan, sesuai dengan pengumuman ini, saya luluskan segera RM2.5 juta,” katanya.
Himpunan Mesra Alumni UiTM bersama Perdana Menteri di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam hari ini menghimpunkan kira-kira 2,000 alumni.
Program itu turut menjadi medan untuk alumni kembali menyumbang kepada universiti selain mengetengahkan aspirasi mereka kepada kepimpinan negara. – MalaysiaGazette
















