Dalam nahas sekitar jam 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka. foto JBPM PERAK

TANJUNG MALIM – Seorang penyelia ladang terkejut selepas menemukan sebuah bangkai pesawat ringan yang terhempas bersama dua mangsa di Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai, dekat sini, pagi tadi.

Saksi kejadian, Abdullah Abdul Talib, 36, berkata, dia terus menghampiri bangkai pesawat yang tersangkut pada celahan pokok selepas terdengar suara meminta pertolongan.

Katanya, dia kemudian menemukan seorang wanita yang memberitahu terdapat seorang lagi penumpang terperangkap di dalam bangkai pesawat ringan itu sebagaimana dalam video media sosial yang tular.

Abdullah terkejut jumpa bangkai pesawat terhempas, tersangkut celahan pokok pesawat ringan terhempas nahas hutan simpan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai Tanjung Malim nahas
Saksi kejadian, Abdullah Abdul Talib, 36,

“Ketika dalam keadaan berkabus itu, saya pada awalnya agak hairan kerana mendapati banyak dahan pokok dalam keadaan patah.

“Saya tidak sangka ia disebabkan bangkai kapal terbang yang terhempas. Ini kerana, sebelum itu saya memang tidak mendengar sebarang bunyi dentuman mahupun pesawat terbang di udara,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Sabtu.

Abdullah yang sudah bekerja selama sembilan tahun di situ memberitahu, penemuan banyak serpihan dengan warna putih dan biru bertebaran di sekitar lokasi kejadian juga mengejutkannya.

“Ketika itu saya memang panik, namun saya sedaya upadaya cuba membantu mangsa termasuk menghubungi polis dan ambulans.

“Pada masa sama, saya turut meminta bantuan kira-kira 10 rakan kerja ladang untuk membantu anggota bomba dalam mengeluarkan mereka daripada bangkai pesawat,” ujarnya lagi.

Di samping itu, dia yang mengakui insiden walaupun itu merupakan insiden pertama kali dihadapinya, namun Abdullah bersyukur selepas dapat memberikan bantuan menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, hasil maklumat wartawan di lokasi mendapati lokasi nahas dianggarkan terletak kira-kira 15 kilometer (km) daripada jalan utama yang mana permukaan muka buminya berbukit-bukau dan hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda melalui laluan ke lokasi nahas sebuah pesawat ringan terhempas di Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR

Dalam nahas sekitar jam 9.35 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, pula cedera di muka.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dari Akademi Penerbangan Layang-Layang itu sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pesawat ringan terhempas di Hutan Simpan Gunung Besout