Datuk Seri Dr Santhara Kumar hadir berkempen untuk calon PN bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.

HULU SELANGOR – Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya masyarakat India cemburu dengan bantuan kerajaan kepada golongan bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

Bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, apa sahaja kelebihan, keistimewaan bumiputera itu sudah termaktub dalam perlembagaan dan ia dihormati oleh kaum lain di negara ini.

Bagaimanapun apa yang menjadi kekecewaan, kemarahan dan kebimbangan kaum lain terutamanya masyarakat India adalah segala janji terutamanya dalam manifesto kerajaan hari ini belum lagi ditunaikan walaupun sudah memegang tampuk kuasa lebih setahun.

“Masyarakat India tidak cemburu Datuk Seri (Anwar). Kami tidak cemburu kerana kami tahu hak dan keistimewaan bumiputera di negara. Kita akur dengan keistimewaan itu. Tapi persoalan kita sehingga hari ini, apa jadi dengan segala janji ‘bulan bintang’ dalam manifesto ketika pilihan raya sebelum ini?

“Janji-janji itu gagal dilakukan oleh kerajaan. Sebelum ini macam-macam telah dijanjikan dan turut berjanji, semuanya mampu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari dan sebagainya. Apabila tidak ada apa-apa seperti janji manifesto itu, masyarakat ini bimbang, kecewa dan tidak berpuas hati.

“Jadinya soal cemburu itu langsung tidak timbul, saya sendiri tidak faham apakah konteks beliau katakan masyarakat India cemburu dan marah. Tolonglah tunaikan janji terutamanya dalam menaik taraf ekonomi dan pendidikan komuniti ini,” katanya selepas menyantuni masyarakat India di sekitar Kerling, Kuala Kubu Bharu bersama Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.

Baru-baru ini, Anwar dalam satu wawancara ‘Sesi Soal Jawab bersama Perdana Menteri’ berkata, walaupun kerajaan membantu golongan bumiputra namun kaum tidak akan dipinggirkan sama sekali.

“Kita bantu bumiputera tetapi ini tidak bermakna zero sum game, menolong orang Melayu bermakna kita meminggirkan kumpulan lain. Sebab itu saya tekankan kepada masyarakat India jangan marah atau cemburu dengan program bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Santhara yang juga bekas Ahli Parlimen Segamat mencadangkan kepada kerajaan untuk terus memperkasa ekonomi dan taraf pendidikan masyarakat India serta kaum lain dengan memperkenalkan ‘sin tax atau cukai mudarat untuk digunakan kepada pembangunan masyarakat bukan Melayu.

Kata beliau, cukai ini adalah daripada hasil perjudian menjual rokok dan alkohol yang boleh digunakan untuk bukan masyarakat Melayu.

“Untuk makluman, kutipan cukai bagi hasil judi dan alkohol pada 2022 adalah sebanyak RM8 bilion. Kalau 10 peratus daripada RM800 juta diagihkan kepada minoriti itu dan peruntukan RM300 juta kepada pembangunan masyarakat India, menjelang 2030 isu-isu penting kaum ini boleh diselesaikan.

“Baki lagi boleh guna untuk kaum Cina dan lain-lain juga. Maka pelbagai isu yang menghantui kaum selain bumiputera ini akan dapat kita selesaikan, saya jangka dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini sebenarnya adalah cadangan dan harap ia akan mendapat perhatian.

“Hakikatnya walaupun berlainan idealogi dan parti politik, fokus dan tumpuan pemimpin politik adalah kepentingan rakyat terutamanya apabila bercakap tentang pemerkasaan dan taraf kehidupan mereka di negara ini. Jangan hanya manis di bibir terutamanya ketika musim pilihan raya,” tegasnya. -MalaysiaGazette