Fauzi Ayob

KUALA LUMPUR – Finas memandang serius terhadap isu ketirisan dana dan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani masalah ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Fauzi Ayob berkata, agensi tersebut sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi terus memastikan FINAS bersih dari sebarang unsur-unsur negatif yang menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, Finas melalui Bahagian Kewangan, Unit Integriti serta Unit Audit Dalam Finas telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan pasukan Jawatankuasa Petugas Khas untuk melakukan siasatan dalaman sekiranya wujud unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dana yang disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada agensi itu.

Beliau turut menyambut baik cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk melakukan penstrukturan semula di semua peringkat bagi mengelak ketirisan dana pada masa hadapan.

Katanya, Finas yakin dan percaya industri perfileman tempatan akan terus diperkasakan dan menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing.

“Finas optimis untuk terus memperkasakan strategi dan fungsi selaras dengan peruntukan Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan 2013).

Pada ketika ini, Finas juga di dalam fasa pemerkasaan pembangunan organisasi dan perkhidmatannya dengan hala tuju yang lebih fokus.

Finas, tambahnya, sentiasa komited untuk melaksanakan penjenamaan organisasi yang sentiasa berpandukan kepada sistem tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang bersih, cekap dan amanah.

– MalaysiaGazette