Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, walaupun dua negeri itu diakui mencatatkan kos kehidupan tinggi, tetapi kos di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga tidak kurangnya.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, walaupun dua negeri itu diakui mencatatkan kos kehidupan tinggi, tetapi kos di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga tidak kurangnya. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pemberian elaun khas kepada guru-guru yang bertugas di Selangor dan Johor adalah tidak adil buat pendidik di negeri lain.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, walaupun dua negeri itu diakui mencatatkan kos kehidupan tinggi, tetapi kos di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga tidak kurangnya.

“Kementerian Pendidikan tidak harus membeza-bezakan, tetapi patut menambah baik kebajikan cikgu secara menyeluruh,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang memberitahu kementeriannya sedang mengkaji pemberian elaun kepada guru yang ditugaskan di Johor dan Selangor untuk membantu mereka menghadapi kos kehidupan di bandar.

Katanya, Kementerian Pendidikan boleh menghantar lepasan kursus Sarjana Muda Pendidikan ke sekolah yang mengalami kekurangan guru, dan tidak perlu mewujudkan elaun untuk mengatasi masalah kekurangan guru.

“Lagipun, penjawat awam telah menerima Bantuan Sara Hidup yang diberi mengikut kawasan. Jadi, tak perlulah mewujudkan elaun khas kerana bantuan sedia ada untuk kategori bandar boleh ditambah,” katanya.

Mengenai laporan bahawa kekurangan guru paling serius di Selangor dan Johor, Shee Fatt berkata, laporan berkenaan tidak menggambarkan keadaan menyeluruh.

“Masalah ini sebenarnya tidak terlalu serius kerana kekurangan guru sejak dua tahun lalu telah distabilkan kepada puluhan orang sahaja,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan berkata, Kementerian Pendidikan harus mengkaji masalah kekurangan guru secara menyeluruh dan bukannya menggunakan elaun untuk mengatasi masalah.

Walaupun mengalu-alukan sebarang usaha untuk menambah baik kebajikan guru, tetapi Harry berkata, elaun itu juga mungkin sukar direalisasikan.

Tambahnya, pelbagai masalah menjurus kepada kekurangan guru di bandar termasuk kerja perkeranian yang membebankan kerana terdapat lebih banyak kelas di sekolah bandar. – MalaysiaGazette