Kanak-kanak di Afrika terdedah dengan kematian pada usia muda. foto Agensi

LONDON – Kira-kira 6.3 juta kanak-kanak meninggal sebelum hari ulang tahun ke-15 pada tahun lalu atau satu kematian setiap lima saat.

Punca kematian sebahagian besar kanak-kanak itu disebabkan oleh kekurangan air, sanitasi, pemakanan dan penjagaan kesihatan asas, menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Majoriti kematian itu – 5.4 juta – berlaku dalam lima tahun pertama kehidupan, dengan bayi yang baru lahir menyumbang sekitar separuh daripada kematian.

Dengan penyelesaian yang mudah seperti ubat-ubatan, air bersih, elektrik dan vaksin, jumlah kematian ini boleh dikurangkan secara mendadak, kata Laurence Chandy, seorang pakar UNICEF.

Bagaimanapun, tanpa tindakan segera, 56 juta kanak-kanak di bawah usia lima setengah tahun daripada mereka yang baru lahir akan mati antara sekarang dan tahun 2030.

Di peringkat dunia, pada tahun 2017, separuh daripada semua kematian kanak-kanak di bawah lima tahun berlaku di Afrika sub-Sahara, yang mana satu dari 13 kanak-kanak meninggal sebelum ulang tahun kelima mereka.

Di negara berpendapatan tinggi, angka itu adalah satu dalam 185, menurut laporan yang diketuai oleh UNICEF, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Bank Dunia.

Bagi kanak-kanak di mana-mana negara pun, masa paling sukar adalah pada bulan pertama kelahiran.

Pada tahun 2017, sebanyak 2.5 juta bayi yang baru lahir meninggal dunia pada bulan pertama mereka dan bayi yang dilahirkan di Afrika sub-Sahara atau di Asia Selatan adalah sembilan kali lebih cenderung untuk mati pada bulan pertama daripada seorang yang lahir di negara berpendapatan tinggi.

Walaupun berdepan dengan masalah ini, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati kanak-kanak lebih sedikit mati setiap tahun di seluruh dunia.

Jumlah kematian di bawah lima tahun susut kepada 5.4 juta pada tahun 2017 daripada 12.6 juta pada tahun 1990, sementara jumlah kematian di antara lima hingga 14 tahun jatuh ke bawah satu juta berbanding 1.7 juta dalam tempoh yang sama. – MalaysiaGazette