KUALA LUMPUR – Kadar inflasi pada bulan Ogos diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.2 peratus berbanding 3.2 peratus pada Julai lalu.

Ia merupakan kadar kenaikan terendah dalam tempoh 42 bulan.

Kenaikan perlahan ini disebabkan oleh kesan daripada harga bahan api yang menyebabkan indeks kumpulan Pengangkutan meningkat hanya 2.1 peratus berbanding 6.7 peratus yang dicatatkan pada Julai 2018, menurut Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Selain daripada kumpulan Pengangkutan, kenaikan harga dalam kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.0 peratus), Pendidikan (+1.1 peratus), Restoran & Hotel (+0.7 peratus) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+0.4 peratus) turut menyumbang dalam peningkatan IHP Ogos 2018.

Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding bulan Julai 2018. IHP bagi tempoh Januari-Ogos 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Secara keseluruhannya, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 0.4 peratus pada Ogos 2018 yang disumbangkan oleh subkumpulan makanan Ikan & Makanan Laut (+1.5 peratus) dan Buah-buahan (+0.6 peratus). Manakala, indeks bagi subkumpulan Daging turun 3.1 peratus pada Ogos 2018 berbanding Ogos 2017, diikuti oleh subkumpulan Gula, Jem, Madu, Coklat & Manisan (-1.4 peratus), Minyak & Lemak (-0.8 peratus), Susu & telur (-0.7 peratus) dan Sayur-sayuran (-0.5 peratus).

Katanya, penurunan ini adalah disebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti Bawang Putih (-23.0 peratus), Bawang Merah (-6.6 peratus), Ayam (-5.1 peratus), Cili Kering (-2.4 peratus), Minyak Masak (-1.1 peratus) dan Kentang (-0.1 peratus).

Sementara itu, indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 1.7 peratus pada Ogos 2018.

Secara keseluruhan, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 0.2 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2018 berbanding Ogos 2017 iaitu Negeri Sembilan (+0.6 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+0.5 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+0.3 peratus).

Dua negeri menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional iaitu Pulau Pinang dan Johor.

Kenaikan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia. Dua negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol melebihi paras indeks nasional (+0.4 peratus) bagi Ogos 2018 berbanding bulan yang sama tahun 2017.

Indeks bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik 2.9 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 0.7 peratus di Sarawak. – MalaysiaGazette