KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berpendapat Agensi Berita Nasional (Bernama) tidak wajar diterajui dalam kalangan ahli parti politik.
Beliau yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, lantikan jawatan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Bernama yang baharu perlu dipertimbangkan semula kerana agensi berita itu bersifat neurtal.
Beliau berkata lantikan ahli politik hanya akan menukar warna dan nilai ditonjolkan agensi berita berkenaan yang sepatutnya bebas dan menyifatkannya bukan pilihan yang baik.
“Ada dalam struktur tertentu tidak sesuai untuk kita melantik individu yang memiliki kecenderungan politik kerana ia sudah pasti akan dipolitikkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran buku Autobiografi Seorang Pemberontak: Kassim Ahmad di sini hari ini.
Semalam, timbul desas-desus bekas ketua pengarang The Rocket iaitu media rasmi DAP, Wan Hamidi Hamid akan ditawarkan sebagai CEO menggantikan Datuk Zulkefli Salleh yang akan bersara bulan depan.
Rais berkata, beliau berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akan mempertimbangkan tentang pelantikan itu.
“Kerana kalau kita ambil individu yang jelas pegangan parti politiknya, ia tidak sesuai menerajui media yang bebas,” katanya. – MalaysiaGazette