KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) komited membuat pelaburan berterusan bagi menangani isu streamyx dan pelanggan setianya dengan lebih komprehensif.
Katanya, syarikat itu telah membuat pelaburan secara berterusan untuk mempertingkatkan kedua-dua rangkaian fiber dan rangkaian tembaga (copper network) bagi memastikan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan liputan di seluruh negara yang lebih meluas.
Rangkaian tembaga ini merupakan rangkaian legasi dan sentiasa mengalami pelbagai cabaran, terutamanya keterbatasannya daripada segi teknologi.
Ia memerlukan penyelesaian yang lebih kekal dan berbentuk jangka panjang, yang pastinya akan mengambil masa untuk dilaksanakan.
Selain itu, TM terus melabur dalam pelaksanaan rangkaian 4G LTE dan WiFi hotspot bagi melengkapi rangkaian talian tetapnya untuk penyediaan perkhidmatan jalur lebar di mana-mana sahaja, pada setiap masa menerusi home@unifi, mobile@unifi dan wifi@unifi.
Liputan perkhidmatan 4G LTE TM pada masa ini telah melebihi 77 peratus populasi isi rumah di kawasan bandar dan luar bandar.
Menurut TM, liputan tersebut diperluaskan lagi menerusi perkhidmatan 3G melangkaui 90 peratus.
“Bagi memberikan lebih kemudahan mobiliti, TM turut mempertingkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan WiFi dengan lebih 12,000 hotspot di seluruh negara setakat ini.
“Menerusi Pelan Penambahbaikan Jalur Lebar yang telah pun dimulakan sejak 2016, TM telah mempertingkatkan pengalaman pelanggan unifi dan Streamyx secara serentak,” katanya di sini.
Umum mengetahui adalah lebih mudah untuk melaksanakan peningkatan kelajuan Internet Unifi, yang ditawarkan menerusi fiber.
TM kini memberi lebih penekanan dan fokus kepada pelanggan Streamyx dan pelanggan jalur lebar di bangunan tinggi yang menerima perkhidmatan menerusi rangkaian tembaga miliknya atau milik pengurusan bangunan tersebut. – MalaysiaGazette