Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan tujuh kes baharu keracunan metanol akibat meminum arak dilaporkan setakat 12 tengahari tadi.

Daripada jumlah itu enam kes dilaporkan di Kuala Lumpur dan satu di Perak, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, setakat ini kementerian kesihatan telah menerima sejumlah 76 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan kementerian itu sejak kejadian pada 15 September lalu.

“Dengan peningkatan kes ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di Kuala Lumpur adalah sebanyak 15 kes, negeri Selangor kekal sebanyak 55 kes dan Perak sebanyak enam kes.

“Terdapat laporan sebanyak lapan kematian keracunan metanol, yang mana enam kematian dari jumlah tersebut adalah dari Kuala Lumpur dan dua di negeri Selangor.

“Dengan ini, jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol adalah sebanyak 29 kes,” kata beliau.

Tambah beliau, daripada jumlah kematian, negeri Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 18 kematian, Kuala Lumpur sebanyak sembilan kematian dan Perak sebanyak dua kematian.

Sementara itu, seramai 14 pesakit didapati stabil dan dibenarkan pulang manakala 33 pesakit masih lagi menerima rawatan di lapan buah hospital di negeri Selangor dan Hospital Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, seramai 19 pesakit masih kritikal dan 14 pesakit lagi menerima rawatan di wad.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

Minuman beralkohol yang disyaki adalah berjenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky, Joker Whisky dan bir berjenama King Fisher dan Volcano.

“Sehingga 21 September 2018, sebanyak 262 buah premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 780 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita,” Ujar beliau.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast