T. Subromniam menunjukkan sebahagian haiwan yang diseludup setelah menahan sebuah tongkang dari Indonesia di perairan Malaysia antara Pulau Langkawi dan Kuala Perlis, awal pagi semalam. foto Bernama

KUALA PERLIS – Kastam Marin Kuala Perlis mematahkan cubaan menyeludup lapan spesis haiwan eksotik terlarang berjumlah 80 ekor termasuk dua ekor anak orang utan setelah menahan sebuah tongkang dari Indonesia di perairan Malaysia antara Pulau Langkawi dan Kuala Perlis, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T. Subromaniam berkata, tiga lelaki rakyat Indonesia termasuk kapten tongkang itu yang berumur dalam lingkungan 40-an hingga 50 tahun ditahan pada kira-kira pukul 12.25 pagi (21 Sept).

Beliau berkata haiwan eksotik itu dipercayai diseludup dari Indonesia, masing-masing dua ekor anak Orang Utan, anak musang albino, burung cenderawasih, burung alba cockatoo, burung electus parrot, 21 ekor burung bayan nuri, seekor burung kuang betina dan 48 ekor anak buaya tembaga.

Selain itu juga terdapat 355 ekor tupai sugar glider, bukan daripada spesis terlarang.

“Kejayaan itu juga hasil Operasi Patroli Terkoordinasi Kastam Malaysia Indonesia (Patkor Kastima) dan Operasi Eagle yang membuat rondaan di perairan Malaysia/Thailand,” kata Subromaniam dalam sidang media di pejabat Kastam Kuala Perlis di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan Marin yang memeriksa tongkang KM Mahligai dari Sumatera menemui 39 kotak mengandungi haiwan itu lalu menahan mereka beserta tongkang.

“Bagi kami (Kastam), haiwan ini sebenarnya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit lebih-lebih lagi yang belum cukup matang mempunyai nilai sangat tinggi,” katanya dan menambah kes itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Perlis (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Subromaniam berkata, kedua-dua ekor anak Orang Utan berada dalam keadaan stres semasa ditemui mungkin kerana masa perjalanan tiga hari dua malam dari Sumatera.

Jabatan Kastam akan bekerjasama dengan Perhilitan menyiasat kes itu yang kemungkinan membabitkan sindiket, katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1€ Akta Kastam 1967 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mengenai kes keracunan arak yang mengorbankan 29 orang sehingga semalam, Subromaniam berkata pihaknya bekerjasama dengan polis melancarkan operasi membanteras penjualan arak haram di seluruh negara.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast