KLIA

KUALA LUMPUR – Biro Kakitangan Pengangkutan Udara Malaysia (BATW) akan protes jika penubuhan Majlis Penerbangan Malaysia hanya melindungi dan memberi faedah kepada syarikat-syarikat penerbangan awam  sahaja.

Sedangkan, pekerja-pekerja lapangan terbang dan syarikat penerbangan serta pengembara tidak mendapat manfaat yang sepatutnya.

Katanya, apakah perbezaan  fungsi majlis tersebut dan Mavcom dan mengapa perlu mewujudkan majlis itu jika Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sudah ada.

BATW turut tertanya-tanya mengapa kesatuan kakitangan penerbangan tidak diundang untuk penubuhan majlis berkenaan sedangkan kerjasama tiga pihak dalam industri itu adalah satu keperluan dalam dunia sekarang ini.

Padahal, masih banyak isu yang membabitkan syarikat penerbangan tempatan belum ditangani oleh Kementerian Pengangkutan seperti syarikat penerbangan yang kerugian teruk tetapi belum diambil tindakan.

Pihak berkuasa yang terlibat dalam isu-isu berkenaan sebelum ini gagal menanganinya dan mengapa isu tersebut masih ‘disenyapkan’.

“Sepatutnya Kementerian Pengangkutan perlu memanggil semua pihak dalam industri penerbangan membincangkan isu-isu legasi sebelum membuat sebarang pengumuman.

“Isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kakitangan dan penumpang penerbangan mesti ditambah baik. Mewujudkan majlis penerbangan tidak akan membantu jika masalah sebenar tidak diatasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perniagaan penerbangan di dalam negara ini perlu lebih telus dan perkongsian faedah yang adil.

Jelas BATW, syarikat-syarikat penerbangan mendapat untung besar daripada penjualan tiket dan dagangannya tetapi tidak pernah telus dalam untung dan rugi.

Kakitangan-kakitangan di darat dan udara masih mengadu dan menuntut inklusif untuk dipertimbangkan memandangkan mereka adalah pihak berkepentingan kepada industri.

Namun, apabila syarikat penerbangan menghadapi masalah, kakitangan yang menjadi mangsa dibuang dahulu.

“Pekerja sepatutnya menjadi individu yang boleh membantu dan berada bersama syarikat tetapi dalam era hari ini, ia tidak berlaku seperti itu. Syarikat penerbangan akan menyingkirkan kakitangan apabila mereka tidak diperlukan.

“Syarikat penerbangan meraih lebih banyak wang berbanding melabur kepada pekerja mereka.

“Pekerja-pekerja ini masih dinafikan kenaikan gaji dan bonus setiap tahun dan mereka perlu mengeluarkan wang tambahan untuk ke tempat kerja.

“Syarikat penerbangan juga tidak menyediakan pengangkutan untuk pekerja-pekerja dan ini telah membantu menyelamatkan berjuta-juta wang syarikat penerbangan itu,” katanya.

BATW menambah, terdapat keperluan untuk memahami apa yang menyebabkan industri penerbangan lebih berjaya – bukan sekadar hanya mempromosikan tambang murah – jika bukan ada kakitangan di darat yang mengendalikan bagasi, anak kapal yang melayani penumpang, juruterbang yang berlepas dan mendarat dengan selamat.

Pekerja-pekerja ini juga harus dimanfaatkan untuk industri ini dan suara mereka juga sama pentingnya, katanya.

“Oleh itu, biro ini akan buat bantahan jika idea penubuhan Majlis Penerbangan Malaysia hanya memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu sahaja,” ujarnya.

BATW juga menggesa Menteri Pengangkutan menunjukkan sokongan pekerja-pekerja yang ditindas dalam industri penerbangan.

“Siasatlah kes-kes syarikat penerbangan tidak membayar gaji pekerja dan masih memperbaharui lesen syarikat walaupun syarikat-syarikat berkenaan gagal mematuhi peraturan industri

“Industri penerbangan ini bukan sahaja diwujudkan untuk orang kaya dan berkuasa, tetapi juga untuk membantu komuniti penerbangan dan orang kurang daya,” kata BATW. – MalaysiaGazette