KUALA LUMPUR – Kontrak hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangkan secara berhati-hati minggu depan berikutan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat dan China yang berlanjutan, kata peniaga.

Peniaga Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd Tee Guy Eon berkata, peristiwa penting pada minggu depan adalah pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat dan Laporan Inflasi Malaysia yang mungkin menetapkan hala tuju pasaran.

“Pada minggu akan datang, prestasi jongkong emas tempatan akan menjejaki sentimen niaga hadapan Bursa Komoditi New York yang akan dipengaruhi oleh perkembangan pertikaian perdagangan AS-China,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak September 2018, Oktober 2018 dan November 2018 masing-masing meningkat empat mata kepada RM161.40 segram manakala Disember 2018 menambah satu mata kepada RM161.45 segram.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada empat lot bernilai RM64,500 berbanding lima lot bernilai RM64,480, sebelum ini.

Kepentingan terbuka meningkat kepada 28 kontrak berbanding 25 kontrak, sebelum ini. – MalaysiaGazette