KUALA LUMPUR – Perkembangan mutakhir politik yang menyaksikan kerjasama politik antara UMNO dan PAS telah membuka landskap baharu politik tanah air.
Kerjasama politik ini yang berpaksikan kepada ideologi ketuanan Melayu-Islam telah menimbulkan reaksi berbeza di kalangan ahli dan pemimpin kedua-dua parti berkenaan.
Kerjasama politik ini telah mengiyakan dakwaan ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Amanah Negara (PAN) bahawa telah wujud hubungan ‘cinta baru’ antara kedua-dua parti itu.
Cinta baru ini yang telah mewujudkan perpecahan dalam Pas dan membawa kepada penubuhan PAN dan perpecahan Pakatan Rakyat (PR).
Justeru, kewujudan PAN berjaya menyelamatkan koalisi pakatan pembangkang sebelum ini dengan penjenamaan baru ‘Pakatan Harapan’.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAN, Faiz Fadzil, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah menyuntik kekuatan tambahan kepada perjuangan rakyat menumbangkan Barisan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), 9 Mei lalu.
Katanya, walaupun PAN dan PPBM mempunyai jumlah kerusi yang lebih kecil dalam PH, namun sumbangan besar kedua-dua parti inilah yang berjaya mengangkat PH sebagai kerajaan baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dengan kemenangan 11 kerusi Parlimen dalam PRU 14 yang lalu dan 10 jawatan dalam Kabinet, ia adalah satu kejayaan dan pencapaian yang besar bagi sebuah parti yang hanya berusia tiga tahun.
“Pencapaian ini sudah pasti hasil kolaborasi usaha gigih ahli PAN sama ada di lapangan atau sosial media dan strategi bijak pemimpinnya.
“Namun, PAN tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan itu dan harus bergerak lebih aktif dan efisyen bagi meluaskan pengaruh serta sentiasa berada di dalam mainstream politik tanah air,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Faiz, konsep ‘houlier than thou’ mesti dibuang dari benak pemikiran ahli dan pemimpin PAN, malah parti itu harus membuka pintu dan bersedia menerima kemasukan mana-mana ahli serta pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen yang kini UMNO dan Pas.
“PAN harus bijak mengambil peluang di atas ketidakpuas hati mereka kepada hala tuju baharu UMNO-Pas sekarang.
“Konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang diperjuangkan PAN akan diangkat sebagai suatu ideologi baharu merentasi perbezaan kaum dan fahaman politik jika dasar inklusif dan progresif ini benar-benar diimplementasikan,” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir ini, kemasukan Ahli Parlimen pembangkang itu tidak akan mengubah dasar perjuangan PAN, sebaliknya mereka akan memahami dan bersama mengangkat dasar perjuangan PAN.
Katanya, dasar tadbir urus baik dan integriti tetap menjadi tunjang pentadbiran kerajaan PH dan kemasukan mereka tidak merosakkan amalan demokrasi kerana bukannya bertujuan menjatuhkan kerajaan.
“Ia juga suatu amalan yang dibenarkan demokrasi dan undang-undang di mana ‘anti-hopping law’ diputuskan tidak berperlembagaan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh.
“Kemasukan mereka dalam PAN juga akan memberikan dimensi baru kepada parti itu dan seterusnya menguatkan akar tunjangnya,” ujar beliau.
Kata Faiz, pengajaran daripada kisah Abu Sufian memeluk Islam dalam ‘fathul Makkah’ telah menguatkan perjuangan Islam ketika itu dan sebagai sebuah parti politik, PAN harus bergerak mengikut kehendak masa dan massa selagi mana tidak tergelincir dari orbit perjuangannya.
Politik katanya, harus berpaksikan relativism, bukannya absolutism, realis mengatasi idealis.
Justeru, ujar beliau, PAN perlu mencari ruang dan peluang baru untuk sentiasa relevan di mata rakyat dan PAN perlu berubah untuk mengubah. – MalaysiaGazette