BALIK PULAU – Calon Ketua Cabang Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik terpaksa menunggu lebih dua jam apabila status keanggotaannya tidak dapat dikesan dalam sistem e-undi (undi secara digital) sebelum dibenarkan mengundi dalam pemilihan PKR yang bermula hari ini.
Beliau yang tiba di perkarangan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Yang Cheng Teluk Kumbar pada jam 10 pagi berkata, pegawai Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak membenarkan beliau mengundi kerana semakan melalui e-undi menunjukkan beliau bukan anggota cabang Balik Pulau.
“Saya pun hairan kenapa sebagai seorang calon ketua cabang di sini, keahlian saya tidak dapat dikesan dalam sistem baharu ini.
“Saya telah diarahkan untuk mengisi Borang 11, iaitu borang untuk semua keahlian yang mempunyai masalah keahlian di luar dewan sebelum dibenarkan mengundi di dalam dewan,” kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi cabang Balik Pulau sini hari ini.
Anggota PKR yang layak mengundi tiba di perkarangan pusat mengundi seawal 8.30 pagi tetapi masa mengundi terpaksa dilewatkan akibat masalah teknikal sebelum pengundi dibenar mengundi pada jam 10.40 pagi.
Keadaan pusat pemilihan di sini bertukar kecoh seketika, apabila seorang petugas JPP di luar dewan enggan membenarkan Muhammad Bakhtiar mengisi borang dengan mendakwa bahawa beliau bukan pengundi di cabang itu.
Selepas berbincang dengan Ketua Cabang PKR Balik Pulau, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ketua Pengawas JPP untuk pemilihan Cabang Balik Pulau Mohd Hatta Marzuki, akhirnya Muhammad Bakhtiar dibenar mengisi Borang 11 dan dibenar mengundi pada jam 12.30 tengah hari.
Muhammad Bakhtiar berharap pihak JPP akan mengkaji semula segala masalah yang berlaku akibat penggunaan sistem baharu ini agar masalah seperti itu tidak berulang.
Sementara itu, Abdul Halim yang akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang itu berkata Cabang Balik Pulau mempunyai 4,705 anggota yang layak mengundi pada pemilihan kali ini.
Pemilihan PKR 2018 Cabang Balik Pulau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Bakhtiar, Abdul Halim, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad dan Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman untuk jawatan Ketua Cabang.
Leong Kein Cheong pula akan turun mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Cabang Balik Pulau dan beliau akan ditentang oleh Aidi Akhbal Mohamed Zainon dan Mohd Tuah Ismail.
Jawatan Ketua AMK Cabang Balik Pulau akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Muhammad Adzlan Adzhar dan Khairul Azwan Khaironamir manakala pertandingan tiga penjuru untuk jawatan Ketua Wanita Cabang antara Nur Zarina Zakaria, Mary Ann dan Hazliza Mohammad Desa.
— BERNAMA