Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown
Clare Rewcastle Brown

IPOH – Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berkata hari ini beliau merasa amat lega selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di mahkamah berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rewcastle-Brown, yang mendedahkan skandal 1MDB melibatkan dana berbilion ringgit berkata beliau merasa lega kerana pihak berkuasa akhirnya dapat menangani kes berkenaan selepas dua tahun.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Pelancaran Buku dan Bicara Sarawak Report di sini hari ini.

Ditanya sama ada bukunya setebal 528-halaman, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ akan diharamkan di negara ini, Rewcastle-Brown berkata beliau sedar tentang hal itu dan tentang  sesetengah orang berpendapat bahawa buku itu mungkin menimbulkan prejudis terhadap perbicaraan kes  1MDB.

“Saya percaya peguam Najib akan menyekat sebarang laporan, termasuk buku saya sekarang  atas  alasan menghina mahkamah atau prejudis.

“Mahkamah telah membuat keputusan tepat bahawa alasan itu tidak dapat diterima. Undang-undang  menghina wujud untuk menyekat liputan media yang mempengaruhi perbicaraan dengan juri. Tetapi ini bukan perbicaraan juri, oleh itu undang-undang itu tidak akan dipakai dengan sewenangnya.

Warga Britain kelahiran Sarawak itu berkata kes itu mempunyai kepentingan awam yang besar di  Malaysia, oleh itu rakyat tidak harus dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui langsung hal itu.

Pada Khamis, Najib didakwa buat kali ketiga atas kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2.6 bilion dari dana 1MDB.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast