KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memohon rakyat mendoakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sembuh daripada penyakit barah hidung.
Menerusi Twitter, Wan Azizah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran itu.
“Berduka mendengar perkhabaran Datuk Lee Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal.
“DCLW sedang menerima rawatan di Taiwan. Sama-sama kita mendoakan DLCW diberi kesembuhan sempurna,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak turut mendoakan agar Chong Wei cepat sembuh.
“Semoga cepat sembuh Lee Chong Wei 李宗伟 . Sama-sama kita doakan kesihatan terbaik untuk beliau,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal dan sedang menjalani rawatan di Taiwan.
Katanya, proses rawatan berjalan lancar dan ketika ini jaguh perseorangan negara itu sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dan berdoa untuk dirinya.
“Sokongan anda memberi kekuatan kepada Chong Wei,” ujarnya. – MalaysiaGazette