Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Afif Bahardin (kanan) bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Malaysia International Vape Summit (MIVAS 2018) di PWTC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 SEPTEMBER 2018.
Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Kalau betul ada dalang di sebalik kekecohan pemilihan PKR di Kedah semalam seperti yang didakwa pihak tertentu, sila buat laporan, kata calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

Katanya, dakwaan seumpama itu peru disertakan dengan bukti dan dilaporkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Kalau betul dia ada bukti ia didalangi oleh mana-mana calon dan sebagainya, kita boleh sampaikan aduan itu kepada Jawatankuasa Pemilihan.

“Ia bertanggungjawab untuk mengambil apa-apa tindakan lanjutan daripada insiden tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Malaysia International Vape Summit 2018 di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia mengulas kenyataan calon Naib Presiden, Datuk Johari Abdul bahawa kekecohan ketika proses pemilihan pimpinan PKR Kedah semalam, dipercayai sengaja dirancang pihak tertentu termasuk pemimpin parti yang tidak berpuas hati.

Johari berkata antara keadaan yang dilaporkan adalah kehadiran pemimpin tertentu bersama kumpulannya yang membuat kekecohan pada pemilihan Cabang PKR Jerai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa, Gurun.

Dalam pada itu, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin membidas dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata, ada kumpulan tertentu sengaja mencetuskan kekecohan dalam pemilihan parti itu.

“Yang tewas siapa? Kalau di Pulau Pinang itu Datuk Seri Azmin menang di mana rakan-rakan di sana beri sokongan dan dokongan.

“Haniza Talha pun mendapat sokongan di sana. Jadi persoalannya yang kalah itu siapa,” katanya.

Kumpulan itu, dakwa Rafizi, akan mula mencetuskan provokasi apabila merasakan calon pilihan mereka akan tewas.

Malah, beliau turut merasakan perlunya penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelak perkasa sama berulang. – MalaysiaGazette

Azmin mendahului Rafizi di Pulau Pinang