Pemain Harimau Malaya, Lambert Declan diasak oleh pemain Timor Leste Santiago Xavier Jose Da Costa pada aksi perlawanan Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya nyaris dimalukan di halaman sendiri oleh pasukan ranking 196 bola sepak dunia dalam perlawanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 malam tadi.

Dalam aksi kedua Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad kendalian Pau Marti Vicente sekadar menang tipis 3-2 menentang Timor Leste dalam aksi penuh dramatik itu.

Harimau Malaya yang mengawal perlawanan pada separuh masa pertama membuka jaringan pada minit ke-37 menerusi Syafiq Ahmad yang berjaya menyempurnakan hantaran Fergus Tierney.

Pemain Timor Leste, meraikan selepas menjaringkan gol pada Perlawanan Bola Sepak Aksi Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 11 DISEMBER 2024.

Namun, sikap sambil lewa anak buah Pau Marti atas padang dihukum oleh pelawat apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Olagar Fernando pada minit ke-45 separuh masa pertama.

Bagaimanapun, aksi itu berakhir dengan kedudukan seri di separuh masa pertama mengejutkan penyokong tempatan apabila pasukan pelawat menjaringkan gol kedua menerusi serangan balas tidak sampai dua minit selepas gol pertama menerusi Joao Pedro

Bek pertahanan skuad kebangsaan ternyata bergelut untuk menyekat kelajuan pemain Timor Leste sehingga membolos dua gol dengan separuh masa pertama berkesudahan 2-1 memihak kepada lawan.

Ketika skuad kebangsaan keluar padang, mereka diboo oleh 7,450 penyokong tempatan yang hadir untuk menonton perlawanan di stadium.

Di separuh masa kedua, skuad Harimau Malaya mendapat banyak peluang untuk menghasilkan gol dan menyamakan kedudukan namun gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi Paulo Josue pada minit ke-69 separuh masa kedua.

Reaksi jurulatih pasukan Malaysia, Pau Marti Vicente pada Perlawanan Bola Sepak Aksi Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 11 DISEMBER 2024.

Selepas gol penyamaan, Harimau Malaya kelihatan sedikit memperbaiki permainan walaupun Timor Leste terus mengasak gawang tuan rumah.

Pada minit ke-83 Malaysia berjaya membuka gol ketiga yang juga kemenangan yang sangat dinantikan menerusi Paulo Jouse.

Namun, pasukan pelawat mengemukakan bantahan gol ketiga itu kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) yang kemudian memutuskan jaringan itu sebagai gol yang sah untuk tuan rumah sekali gus menyaksikan Harimau Malaya mengutip tiga mata yang sangat diperlukan itu.

Pujian harus diberikan kepada ketua jurulatih dan pasukan yang bijak mengatur strategi permainan di atas padang sehingga mengancam gawang gol Harimau Malaya sepanjang perlawanan tersebut.

Tanpa pemain utama dan ketiadaan fasiliti padang latihan, semangat juang tinggi pasukan pelawat menjaringkan dua gol menentang Harimau Malaya wajar dipuji.

Selepas ini, Harimau Malaya akan terbang ke Thailand untuk bertemu skuad War Elephants dalam satu lagi aksi Kumpulan A pada hujung minggu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast