Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Peguam kontroversi, Siti Kasim mahu Menteri Pelajaran, Dr. Maszlee Malik melihat semula silibus Pendidikan Islam Tingkatan 5.

Menerusi status di Facebook miliknya semalam, Siti Kasim turut berkongsi gambar subtopik berkaitan rasional hukuman bunuh terhadap orang murtad dalam buku ulangkaji ‘Fokus SPM Pendidikan Islam Tingkatan 4 5’.

“Sejak berita mengenai isteri dipukul keluar, seorang pelajar Tingkatan 5 menghantar mesej kepada saya dan menunjukkan ini kepada saya. Sekarang beritahu saya sama ada ini betul atau salah?

“Tolonglah Dr. Maszlee Malik. Anda sangat perlu melihat silibus agama Islam. Ini sangat mengerikan,” kata Siti Kasim.

Dalam buku ulangkaji itu diterangkan rasional membunuh orang murtad adalah:

a. Memberi amaran bahawa agama Islam tidak boleh dipermainkan.

b. Mengelak daripada orang murtad mempengaruhi orang Islam lain mengikut jejak langkahnya.

c. Sebagai satu cara untuk menghalang tindakan merendah dan memburukkan agama Islam.

d. Mengelak perbuatan riddah daripada berleluasan yang boleh mencemarkan kesucian Islam.

Sebelum ini, Siti Kasim pernah berkongsi status di Facebook berkaitan soalan peperiksaan Pendidikan Islam Kertas 1 September/Oktober yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Selangor mengenai subtopik ‘cara memukul isteri yang nusyuz’.

“Kementerian Pendidikan. Adakah ini apa yang pelajar Melayu belajar di sekolah? Apakah ini Dr. Maszlee Malik? Adakah ini diterima? Sampah jenis apakah yang kita ajar anak-anak di sekolah?” tulis Siti Kasim.

Dalam pada itu, Maszlee yang memberi respon mengucapkan terima kasih kepada Siti Kasim kerana membawa isu tersebut kepada perhatian pihaknya.

“Terima kasih atas keprihatinan dan membawa perkara ini untuk makluman saya. Saya akan ambil tindakan bagi meneliti perkara ini,” kata Maszlee di Twitter. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast