KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan oleh Datuk Seri Nazir Razak sebagai Pengerusi CIMB Group Holdings Berhad bukan satu berita yang membimbangkan.
Ini kerana peletakan jawatan Nazir tidak memberi kesan negatif kepada kumpulan perbankan itu.
MIDF Research berkata, CIMB adalah sebuah institusi dan tidak bergantung kepada individu.
Malah, bank itu telah melaksanakan perubahan kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2014 tanpa kesan yang merugikan.
Kumpulan perbankan itu mempunyai operasi dan potensi hasil yang kukuh.
“Sebagai contoh, pada separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih berkembang 3.3 peratus meskipun pendapatan bersih susut 5.2 peratus.
“Sejak pelaksanaan inisiatiif T18, pengurusan berjaya menguruskan perbelanjaan operasi (opex). Pada suku kedua tahun ini, opex susut buat kali dua suku berturut-turut dengan 2.5 peratus berbanding 6.8 peratus pada suku pertama tahun ini.
“CIMB juga berada pada landasan sebenar untuk mencapai sasaran tahun 2018,” kata firma penyelidikan itu.
Nazir akan melepaskan jawatannya pada 31 Disember uni selepas 29 tahun bersama dengan bank tersebut sejak 1989.
Beliau menerajui CIMB sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama 15 tahun dan Pengerusi Kumpulan sejak 2014. – MalaysiaGazette