AMSTERDAM – Belanda dan Australia mahu memulakan perbincangan dengan Rusia mengenai kebertanggungjawaban negara itu dalam menembak jatuh pesawat MH17, kata Menteri Luar Belanda, Stef Blok selepas bertemu rakan sejawatnya dari Australa, Marise Payne di New York, lapor NOS.
Australia dan Belanda secara rasmi menyatakan Rusia bertanggungjawab
terhadap peranannya dalam insiden yang membabitkan pesawat MH17 pada
Mei lalu, dengan menyediakan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu.
Kedua-dua negara juga meminta Rusia mengadakan mesyuarat bagi
membincangkan liabiiti negara itu.
Kini mereka berhubung dengan Rusia menerusi saluran diplomatik, kata
Blok.
Terdahulu, Blok dan Payne menemui rakan sejawatnya dari Malaysia,
Ukraine dan Belgium dan tiga negara anggota Pasukan Penyiasat Bersama
(JIT) yang menyeiasat insiden berkenaan.
Mereka membincangkan mengenai siasatan jenayah terhadap dalang kemalangan tersebut.
“Pada hari ini ia sekali lagi kelihatan bahawa negara JIT bersatu dalam matlamat mereka, bagi mencari kebenaran mengenai MH17 dan mendakwa dalangnya.
“Siasatan bebas JIT menerima sokongan tanpa syarat kami,” kata Blok.
Pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kesemua 298 penumpang terbunuh dalam kemalangan tersebut.
Siasatan Lembaga Keselamatan Belanda dan JIT mendapati pesawat itu ditembak oleh sistem peluru berpandu BUK dari Brigade Anti Pesawat ke-53 Angkatan Tentera Rusia.
Ia dilancarkan dari sebuah padang di Ukraine yang dikuasai puak pemisah Rusia ketika itu.
JIT telah menjejaki konvoi kenderaan tentera yang berjumlah kira-kira 50
buah itu , termasuk BUK yang menembak jatuh MH17 dari kawasan letak kereta
di Brigade ke-52 di Kursk di sempadan Ukraine antara 23 Jun hingga 25 Jun 2014 – beberapa minggu sebelum pesawat MH17 ditembak jatuh.
Pada minggu lalu, Rusia mengadakan sidang media dengan menyatakan peluru
berpandu BUK itu adalah buatan Rusia tetapi berada dalam tangan Ukraine
ketika insiden itu berlaku.
Rusia menuding jari ke arah Ukraine sejak kemalangan itu berlkaku. – Agensi.