KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson nampaknya semakin sengit apabila bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan mengesahkan akan bertanding di atas tiket bebas.
Ini bermakna Saiful bakal berhadapan dengan Anwar dan calon-calon lain di Port Dickson iaitu PRK keempat selepas Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong sejak kerajaan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional Mei lalu.
Penyertaan Saiful Bukhari selepas Tan Sri Isa Samad dan seorang lagi calon iaitu Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar yang mewakili Pas menjadikan setakat ini enam calon kesemuanya disebut-sebut akan muncul pada hari penamaan calon esok.
Terdahulu Ahmad Kamarudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang lagi calon bebas, Stevie Chan turut menzahirkan hasrat masing-masing untuk bertanding di P132 itu.
Saiful Bukhari dipetik dari portal FMT berkata, tiada siapa di belakang beliau di sebalik hasrat untuk bertanding.
Katanya, keputusannya itu juga tidak didorong oleh sebab-sebab peribadi dan beliau hanya ingin menjadi wakil rakyat serta meraikan demokrasi.
PRK Port Dickso akan diadakan pada 13 Oktober ini selepas penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk beraksi di Parlimen.
Semalam Peguam Negara Tommy Thomas dalam suratnya kepada peguam Siti Kasim mengesahkan Anwar layak bertanding selepas Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan penuh seperti yang disaran Lembaga Parol. – MalaysiaGazette