Calon bebas, Tan Sri Isa Samad meninjau keadaan penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018
Calon bebas, Tan Sri Isa Samad meninjau keadaan penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018

PORT DICKSON – Keputusan UMNO yang mahu mengambil tindakan saman ke atas pemimpin yang telah meninggalkan parti itu sejurus selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak akan mendatangkan sebarang faedah.

Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, kes berkenaan juga tidak akan memberi kemenangan kepada parti itu jika dirujuk di mahkamah.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan itu  hanyalah cubaan menakutkan wakil rakyat kerana parti berasa terkesan dengan tindakan keluar parti oleh pemimpin-pemimpin sejak akhir-akhir ini.

“Saman pasal apa, tidak ada kesan apapun, ia tidak membawa sebarang faedah yang diharapkan UMNO.

“Dulu sebagai orang lama kami pernah menandatangani borang kosong yang mensyaratkan mana mana wakil rakyat atau pemimpin yang tinggalkan UMNO perlu kosongkan kerusi.

“Tapi mereka kalah setelah dirujuk di mahkamah. Lagipun saya tidak tahu apa pandangan peguam lain dalam hal ini.. tapi yang pasti ia tidak mendatangkan sebarang faedah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa kempen bertemu pengundi di Kampung Jimah Lama di sini.

Dalam perkembangan sama, tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, dalam sejarah politik mahupun UMNO tidak pernah berlaku penyerahan semula kerusi oleh mana-mana penyandang setelah meninggalkan parti.

“Tidak ada dalam sejarah orang pernah pulangkan semula kerusi yang disandangnya selepas keluar dari sesebuah parti yang diwakilinya.

“Nak takutkan orang sahaja, apa yang mahu takut sangat (saman)..tak payah takutlah…kemudian minta orang kosongkan kerusi itu..ini tak pernah berlaku.

“Bolehlah (anggap) sekadar untuk menyedapkan cakap itu, mesti pulangkan kerusi itu. tidak ada sebegitu dalam sejarah sebelum ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette

UMNO saman wakil rakyat keluar parti – Ahmad Zahid

Najib setuju saman wakil rakyat keluar parti