KUALA LUMPUR – Jabatan Belia dan Sukan Selangor menyasarkan penyertaan 57,000 peserta sempena program Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri, di Taman Botani Shah Alam, pada 12 hingga 14 Oktober ini.
Dalam kenyataan JBS berkata, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu bertujuan meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan aktiviti sukan ke arah mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif.
“Kami menyasarkan penyertaan di peringkat negeri adalah 30,000, manakala 3,000 peserta bagi setiap daerah yang turut membabitkan penyertaan 54 agensi kerajaan serta agensi swasta di Selangor,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelbagai pengisian aktiviti sukan dan kecergasan bakal disajikan buat peserta sepanjang tiga hari program berlangsung.
Antara yang menarik termasuk ‘Hill Run 3KM dan 7KM’, Senam Cergas @ HSN Selangor, ‘Aerobicthon Challenge’, zumba, lompat tali, ekspedisi Puncak Bukit Sapu Tangan dan ‘Hammock Gathering & Tree Climbing’.
Terdapat juga sukan pancing layang (Fly Fishing & Fly Tying), ‘Rainforest Campcraft: Share & Show’, cabaran sukan bilah dan sesi suai kenal kapten sepak takraw negara.
Acara lain seperti pertandingan mewarna, pameran ‘Scuba Diving’ dan paragliding, pemeriksaan kesihatan serta ‘Stompers Perfomance’.
HSN akan disempurnakan Menteri Besar, Amirudin Shari, pada 13 Oktober ini. – MalaysiaGazette