WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menggesasebuah badan bebas serta telus menyiasat misteri ‘kehilangan’ atau ‘pembunuhan’ wartawan serta pengkritik terkenal, Jamal Khashoggi.

Agensi melaporkan, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menggesa siasatan menyeluruh dan telus oleh kerajaan Arab Saudi berhubung kehilangan penulis berkenaan yang pernah mengundang kontroversi sebelum ini.

“Kita gesa supaya satu siasatan telus dan bebas dapat dijalankan agar misteri kehilangan Khashoggi ini ditangani dengan lebih baik dan keputusan siasatan perlu dikemukakan dengan jujur,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Pampeo, pihaknya juga sudah berhubung dengan Arab Saudi menerusi saluran diplomatik berhubung perkara itu.

Pompeo senada dengan Presiden, Donald Trump yang menyuarakan kebimbangan berhubung kehilangan Khashoggi selepas memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki minggu lepas.

Khashoggi yang kini merupakan penduduk tetap AS sejak setahun lalu pernah menulis artikel berkontroversi tentang Putera Mahkota Mohammad bin Salman.

Pihak berkuasa Turki mendakwa, Khashoggi sebenarnya sudah ‘dibunuh’ dalam konsulat berkenaan namun Riyadh menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Dakwa Riyadh, penulis Washington Post berkenaan sudah meninggalkan premis berkenaan.

Konsul Jeneral Arab Saudi di Istanbul, Mohammad Al-Otaibi membuka konsulat negara itu untuk menunjukkan penulis, Jamal Khashoggi, yang hilang selepas keluar dari konsulat itu empat hari lalu tidak berada di premis tersebut.

“Saya ingin mengesahkan bahawa … Jamal tidak berada di konsulat mahupun di Arab Saudi, konsulat dan kedutaan bekerjasama mencari dia,” kata Al-Otaibi dalam satu wawancara di konsulat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast