NEW YORK – Syarikat-syarikat media menarik diri daripada menyertai persidangan pelaburan anjuran Arab Saudi sebagai tanda menentang kehilangan Jamal Khashoggi di Turki, baru-baru ini.
Arab Saudi dikaitkan dengan kehilangan wartawan terkemuka itu.
Ketua Pengarang Economist, Zanny Minton Beddoes berkata, beliau tidak akan menyertai persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan di Riyadh, jurucakap Lauren Hackett berkata dalam e-mel.
Andrew Ross Sorkin, pembaca berita CNBC dan wartawan perniagaan New York Times menerusi Twitter beliau juga memaklumkan tidak menghadiri persidangan tersebut.
Katanya, beliau sangat tertekan dengan kehilangan wartawan Jamal Khashoggi dan laporan pembunuhan wartawan itu.
Tekanan semakin meningkat terhadap Arab Saudi selepas Khashoggi yang terkenal mengkritik polisi Arab Saudi dilaporkan hilang.
Kali terakhir beliau dilihat memasuki perkarangan Pejabat Konsulat Arab Saudi di Turki pada 2 Oktober lalu.
Media New York Times Co juga menarik diri sebagai penaja media untuk persidangan tersebut, menurut jurucakap, Eileen Murphy.
Manala Financial Times dalam kenyataan pula berkata, pihaknya sedang mengkaji semula penyertaan sebagai rakan media.
Ketua Pegawai Eksekutif Viacom Inc, Bob Bakish, yang dijemput untuk bercakap pada persidangan itu juga telah menarik diri.
Syarikat media yang terlibat menyertai persidangan itu termasuk CNN dan Bloomberg, menurut laman sesawang acara itu.
Kehilangan Khashoggi yang juga penulis kolum di Washington Post telah membayangi persidangan ‘Davos in the desert’ yang bakal berlangsung selama tiga hari pada 23 Oktober ini.
Persidangan bagi tahun kedua itu menarik beberapa golongan elit perniagaan dunia termasuk peneraju dan eksekutif terkemuka Wall Street daripada syarikat multinasional, teknologi dan perkhidmatan kewangan.
Seorang oegawai Turki telah mendakwa Khashoggi dibunuh di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul ketika wartawan itu mahu mendapatkan dokumen untuk perkahwinannya.
Riyadh bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.
Setakat ini, JPMorgan Chase & Co dan Mastercard Inc yang dijadualkan menyertai acara itu belum memberi maklum balas. – MalaysiaGazette