Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Kampung Landak, Baling dekat sini yang disyaki punca keracunan dan menyebabkan 2 kematian, dijangka diketahui selewat-lewatnya 2 hari lagi.
Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Baling disahkan menganduni bakteria. Gambar hiasan

ALOR SETAR – Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Kampung Landak, Baling dekat sini yang disyaki punca keracunan dan menyebabkan 2 kematian, dijangka diketahui selewat-lewatnya 2 hari lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata pihakya perlu menunggu laporan penuh ujian sebelum dapat mengesahkan punca kejadian.

“Sekiranya berpunca daripada laksa di premis berkenaan tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita pada Karnival Kesihatan Alor Setar 2018 ‘Kempen Gaya Hidup Sihat’ di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Dr Lee berkata setakat semalam, terdapat 3 kes baru di Perak menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 83 kes dengan pecahan 34 kes di Perak (termasuk 2 kematian), 25 di Kedah dan 24 di Selangor serta satu kes masih di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Dr Lee berkata pihaknya akan melipatgandakan promosi serta kempen larangan merokok di semua restoran dan premis makanan sebelum ia dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019.

“Kita akan kuat kuasakan larangan merokok tersebut, tetapi sebelum itu kempen dan promosi mengenainya akan dilakukan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rokok dan kesannya kepada orang ramai sebelum kita ambil tindakan nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini termasuk warung di tepi jalan, berkuat kuasa 1 Jan depan. — BERNAMA