PORT DICKSON – Tanpa memperdulikan lampu isyarat, seorang pekerja loji penapis minyak di sini terpaksa memecut dengan motosikalnya mengejar masa untuk mengundi sebelum pusat undi ditutup pukul 5.30 ptg tadi.
Menceritakan detik mengejar saat akhir itu William Wah, 51 memberitahu, beliau tiba di hadapan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Port Dickson tanpa berhenti di mana mana lampu isyarat pukul 5.25 petang.
“Sebenarnya saya kerja hari ini .. kebetulan boiler shut down.. saya minta kebenaran bos mah pergi undi.
“Dia (penyelia loji) minta saya balik segera sambung kerja selepas undi kerana kena betulkan boiler itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Wiliam Wah yang masih memakai uniform berwarna oren dengan kotoran minyak berlari laju ke arah saluran undi untuk mengundi.
“Saya memang risau tak sempat undi. Tetapi bawa motorsikal laju tadi dengan harapan boleh undi.
“Akhirnya saya berjaya mengharungi dua lampu trafik tanpa henti. Saya tidak sempat melihat sama ada isyarat hijau atau merah sebab takut terlepas peluang undi.
“Saya gembira dapat mengundi sebelum pusat undi ditutup 5.30 petang tadi,” ujarnya ceria sambil menunjukkan jari berdakwat sebelum bergegas keluar untuk menyambung kerjanya.
“Ini tanggungjawab saya untuk undi, mana boleh ponteng sekarang saya lega sudah undi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi wanita berusia 57 tahun Karen Dew sebagai pengundi terakhir juga sempat mengundi dengan masa berbaki dua minit lagi sebelum waktu mengundi di pusat itu tamat dan pintu masuk ditutup polis. – MalaysiaGazette