KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja dilihat fokus dalam memerangi politik wang malah amaran yang dibuatnya secara terbuka tentang isu perlu diberi perhatian.
Apatah lagi baru-baru ini, Anwar dengan lantang menyifatkan mana-mana induvidu dalam partinya yang menggunakan wang serta jawatan sebagai umpan untuk membeli undi sebagai ‘haprak syaitan’ dan tidak seharusnya dibiarkan terlepas begitu sahaja.
Menurut calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Rashid Hasnon, budaya politik wang tidak sepatutnya diterima sama sekali apatah lagi kini sudah menjadi kerajaan pusat dan memerintah negara selepas diberikan mandat oleh rakyat.
Kata beliau, membeli undi dan politik wang adalah amalan kerajaan terdahulu yang telah berdepan dengan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 kerana kebencian rakyat.
“Kenyataan keras Anwar bahawa pembeli undi dalam pemilihan parti sebagai ‘haprak syaitan’ wajar diberi perhatian. Ingat, tidak ada ertinya seseorang itu menang dalam pemilihan parti tetapi akhirnya membawa kekalahan parti dalam PRU kerana rakyat membenci.
“Rakyat tidak bodoh, anggota parti juga tidak bodoh. Kita telah dididik untuk membenci politik wang dalam apa juga keadaan malah saya percaya pemimpin yang menggunakan wang serta tawaran akan ditolak oleh anggota parti.
“Parti Keadilan masih menjadi parti yang penuh idealisme. Sepertimana pilihan raya, pemilihan parti tentu akan melibatkan belanja namun tidak bermakna ada keperluan untuk membeli undi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Rashid, sebarang bentuk kecurangan wajar dilaporkan langsung kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan jawatankuasa disiplin wajib bertindak segera untuk menanganinya.
Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dengan nada tegas menyatakan pihaknya tidak akan sesekali bertolak ansur dengan mana-mana pemimpin parti yang menyalahgunakan kapasiti kewangan dan kedudukan untuk membeli pengundi.
Anwar menyeru kepada semua khasnya anggota PKR supaya tidak sesekali pertahankan dengan aktiviti politik wang sebaliknya menolaknya kerana itu merupakan prinsip parti sejak 20 tahun lepas.
Katanya, walaupun wang itu satu keperluan namun tidak sepatutnya menggunakannya bagi kepentingan peribadi dan kuasa.
“Politik wang ini jangan kita pertahankan, tidak ada sesiapapun menafikan wang itu satu keperluan untuk kehidupan seharian, kita perlukan wang dan saya juga perlukan wang. Untuk datang ke sini, saya perlu wang, kereta, minyak dan sebagainya.
“Tapi ini berbeza dengan politik wang, membeli orang. Mengguna wang untuk membeli undi, itu kerja ‘haprak syaitan’. Akhlak kamu rendah, perosak. Ini bukan reformasi yang kita laungkan.
“Kita lawan 20 tahun untuk hapuskan sistem politik wang ini, keangkuhan ini. Kini, kita tidak sesekali izinkan perkara ini.
“Jika beri wang untuk bantu seseorang yang tidak berdaya, saya dapat terimanya. Tapi sekiranya untuk beli undi, saya tidak tolak ansur. Saya telah dapat aduan tentang politik wang RM100, tapi sedang cari bukti kukuh terlebih dahulu,” tegasnya. – Malaysia Gazette