Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah

SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah memuji langkah yang diambil Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menguruskan harta intelek hasil penyelidikan yang dibuat.

Baginda bertitah, keupayaan UPM mengungguli hadiah utama Pengurusan Harta Intelek bagi kategori organisasi di peringkat kebangsaan tahun ini membuktikan universiti menghargai inovasi yang dihasilkan warga institusi itu.

Titah baginda pengiktirafan daripada Badan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia diberi atas usaha UPM menguruskan harta intelek yang dijana melalui penyelidikan universiti.

“Beta yakin kejayaan ini dapat meningkatkan kepercayaan industri dan masyarakat terhadap usaha universiti dan potensi kerjasama bagi menghasilkan penyelidikan,” titah baginda pada majlis Konvokesyen UPM Ke-42 di sini hari ini.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah agar UPM menjadi peneraju dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan inovasi terutama dalam bidang pertanian dengan mengeluarkan sumber manusia yang berdaya maju, menghasilkan strategi yang oleh dilaksanakan secara efektif bagi memacu kemajuan sektor pertanian negara.

Titah baginda sumber manusia atau bakat merupakan pengisian penting bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Baginda juga menggalakkan sektor industri untuk bersama-sama universiti dan melabur dalam pendidikan tinggi ke arah pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, penajaan biasiswa dan penerokaan strategik pasaran luar negara.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penyelidik UPM, Prof Dr Mohd Hair Bejo atas kejayaan memenangi Anugerah Merdeka bagi kategori sains dan teknologi melalui penghasilan vaksin penyakit Gumboro yang menyerang ayam.

Inovasi oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar yang telah dipasarkan sehingga ke luar negara ini meningkatkan lagi prestij UPM dalam menerajui bidang pertanian dan sains haiwan, titah baginda.

Baginda juga berkongsi kegembiraan atas pencapaian dan prestasi UPM sepanjang 2018 termasuk kejayaan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan mengekalkan pengiktirafan akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business atau AACSB, menjadikan UPM universiti tempatan pertama menerima akreditasi itu dan keenam di Asia Tenggara.

UPM mencatatkan sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan 6,973 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast