Fiza

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa diceraikan menerusi aplikasi Whatsapp pada 15 Ogos lalu gara-gara bertanyakan kepada suaminya mengenai hukum berpoligami dalam Islam.

Seorang kakitangan awam yang dikenali Fiza mendakwa soalannya ialah apa hukuman berpoligami mengikut al-Quran dan beliau mendakwa dimarahi bekas suaminya malah diceraikan.

“Salahkah saya bertanya kepada suami, kerana banyak keraguan mengenai pegangan agama suami yang pada pemahaman saya bercanggah dengan al-Quran, dengan kata lain bertentangan Islam.

“Penampilan alim ditunjukkannya bertentangan dengan perbuatannya menyebabkan saya terpaksa meminta pandangan beberapa pihak serta rakan.

“Adakah amalan berpoligami menjadi isteri keduanya mengikut Islam al-Quran atau tidak sebagaimana perlakuan lain yang tidak mengikut al-Quran.

“Contohnya, keinginannya meliwat, menyetubuhi saya ketika sedang haid termasuk nafsunya lebih ghairah ketika ada darah kotor dan saya dipaksa menerima perbuatan itu sejak empat tahun lalu,” dakwanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Fiza yang berusia 43 tahun, kesnya mendapat perhatian ramai kerana ia kes pertama dicerai yang mempersoalkan amalan poligami di negara ini dan perbicaraan pengesahan cerai dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Faathir Md Tahir mengikut prosedur cerai luar mahkamah di Mahkamah Sesyen Syariah Ampang baru-baru ini.

Pada pertengahan September lalu, Fiza ke pejabat agama untuk mendaftarkan perceraian sahaja tetapi tidak menjangka diarahkan membela diri dan mendakwa melalui pelbagai kerenah yang menyusahkan.

Ketika perbicaraan kes, beliau meluahkan ketidakadilan bagi pihaknya serta keluarga isteri pertama yang tidak merestui poligami berkenaan.

“Saya biasa mendengar banyak kes isteri teraniaya sehingga ada yang 20 tahun masih belum selesai dan kali ini menimpa diri saya pula.

Perbicaraan disambung atau ditangguhkan lagi hingga 15 November nanti.

“Namun itu pun sehingga kini ditangguhkan tiga kali dalam masa tiga bulan sedangkan ianya boleh diselesaikan dalam masa tidak sampai satu jam pun kerana saya dan bekas suami hadir sama ke mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut isu poligami, beliau berkata, Tunisia salah sebuah negara yang 100 peratus rakyat Islam tetapi mengharamkan poligami dengan alasan kerana manusia tidak akan boleh berlaku adil terhadap isteri-isteri sehingga memudaratkan kekeluargaan.

Dalam pada itu, Fiza merujuk dan menghantar sendiri surat memohon penjelasan dan hukum yang digunakan di negara ini kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Raja-Raja pada 16 0gos lalu tetapi sehingga kini tiada jawapan.

“Hanya pemberitahuan daripada Bahagian Undang-undang yang mengatakan halal poligami tetapi itu tidak menjawab soalan saya selain tidak menjelaskan kenapakah ada negara Islam lain mengharamkan poligami.

“Saya kecewa tidak mendapat pembelaan daripada pejabat agama dan mahkamah syariah, malah tiada mana-mana pihak yang sudi membantu,” katanya yang juga mendakwa ketiadaan wang untuk mengupah peguam bagi kesnya.- MalaysiaGazette