KUALA LUMPUR – Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan menggesa Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menarik balik tuduhan liarnya berhubung pemakaian baju Senator Liew Chin Tong yang dikaitkan dengan pakaian ala komunis.
Menerusi kenyataan pada Facebook, Chin Tong berkata, tuduhan yang dibuat oleh Azwanddin itu jelas menunjukkan sikap kurang cerdik dan tidak berhemah dirinya dalam membuat kenyataan.
“Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan kecewa dengan tuduhan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah bahawa kononnya Timbalan Menteri Pertahanan telah memakai uniform ala komunis semasa pemeriksaan perbarisan ATM dalam lawatan ke kem.
“Tuduhan JMM itu merupakan satu penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia serta Kementerian Pertahanan Malaysia,” tulisnya di posting tersebut.
Chin Tong berkata, warna ‘khaki’ baju tersebut tidak ada kena-mengena dengan komunis.
Ia antara rona warna yang selalu dipilih untuk uniform tentera di merata dunia.
Malah, warna tersebut pernah dijadikan pakaian seragam rasmi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum tahun 1995, katanya.
“Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2017, baju korporat warna ‘khaki’ dicadangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan akhirnya menjadi pilihan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pakaian rasmi Sambutan Hari Kebangsaan 2017.
“Kesemua anggota Kabinet dan barisan dif kehormat telah memakai baju tersebut semasa sambutan rasmi hari kebangsaan.
“Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga memakai pakaian rasmi tersebut. Begitu juga dengan mantan menteri dan pemimpin kerajaan yang lain, termasuk pemimpin kerajaan sebelum ini,” ujarnya.
Tambah beliau, pakaian seragam tentera adalah eksklusif dan hanya sesuai dipakai oleh pegawai yang telah ditauliahkan sahaja.
Terdahulu, Mindef dalam satu kenyataan turut menjelaskan bahawa pakaian yang dikenakan oleh Chin Tong ketika membuat kawalan kuarters di Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kuching pada Jumaat lepas adalah baju korporat rasmi (bush jacket) yang disediakan oleh Mindef kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan.
Menurut kenyataan itu, tuduhan terhadap Chin Tong kononnya beliau dengan sengaja memakai pakaian menyerupai tentera komunis adalah bersifat tidak benar.
Menerusi posting di Facebook, Azwanddin menulis, “Hari ini dengan sengaja timbalan menteri pertahanan berpakaian seragam komunis di hadapan tentera Melayu ini sikap kurang ajar”.
Posting tersebut turut disertakan bersama gambar Chin Tong yang melakukan pemeriksaan kawalan kehormat terhadap beberapa anggota yang lengkap berpakaian seragam warna putih. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/10/31/bukan-pakaian-komunis-tapi-baju-korporat-rasmi-mindef/