Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) bercakap kepada media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kanan) bercakap kepada media selepas selesai pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan berhemah berbelanja bagi mengurangkan impak defisit.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ditengah-tengah kebimbangan rakyat Malaysia, agensi penarafan telah menurunkan kredit kerana jumlah defisit yang lebih tinggi pada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengulas mengenai Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Mahathir menjelaskan, kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana telah terbeban dengan masalah kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Jumlah defisit adalah 3.7 peratus (daripada KDNK) tetapi kita dapat melihat sepanjang ucapan Belanjawan 2019 oleh menteri kewangan, ada langkah-langkah yang diambil untuk membetulkan kesan defisit itu.

“Kami sangat berhati-hati mengenai bagaimana wang itu dibelanjakan. Walaupun belanjawan lebih daripada tahun sebelumnya, kami telah terbeban dengan hutang yang harus kami bayar oleh kerajaan sebelumnya,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Mahathir menegaskan, pinjaman yang diambil dari Jepun akan digunakan untuk mengimbangi beberapa pinjaman yang dibuat oleh kerajaan sebelum pemerintahan Pakatan Harapan.

Perdana Menteri juga menyatakan bahawa kadar faedah dari Jepun jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pinjaman sebelumnya.

“Kerajaan sebelumnya meminjam wang pada kadar enam peratus tetapi untuk itu kadar enam peratus, bukannya mendapat 100 peratus daripada wang yang dipinjam, kita hanya mendapat 90 peratus.

“Oleh itu, kadar faedah adalah 100 peratus tetapi kadarnya meningkat kepada kira-kira tujuh peratus.

“Sekarang antara tujuh peratus dan 0.65 peratus, saya fikir anda menyedari ada pengurangan yang sangat besar.

“Jadi, jika anda meminjam sesuatu yang membawa kadar faedah yang sangat tinggi dan menawarkan wang pada kadar faedah yang rendah untuk membayar pinjaman itu, itu bermakna bahawa wang yang anda dapatkan jauh lebih murah,” jelasnya.

Dalam pada itu Mahathir turut memberitahu, wang yang dikutip menerusi Tabung Harapan tidak mempunyai maksud lain selain membantu kerajaan menyelesaikan masalah kewangannya.

“Wang itu tidak mempunyai tujuan khusus kecuali untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah kewangannya dan kami akan menggunakan wang itu dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Sehingga pukul 3 petang pada 29 Oktober lepas, Tabung Harapan berjaya mengumpul sebanyak RM196,322,746.30 dan kabinet telah bersetuju untuk menutup tabung tersebut pada 31 Disember ini.

Pada sidang media yang sama, Perdana Menteri juga berkata, belanjawan yang dibentang hari ini bertujuan untuk memenuhi aspirasi rakyat, namun pada masa sama ia memberi amaran bahawa pemerintah hanya dapat membelanjakan apa yang mampu.

“Tidak akan ada lagi pinjaman untuk mewujudkan syarikat baru supaya kita dapat mencuri wang. Wang yang kami pinjam digunakan untuk membayar hutang kami supaya kadar faedah akan dikurangkan.

“Kami sangat berhati-hati, kami melakukan apa yang kami boleh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette