KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 menunjukkan kekurangan langkah pendapatan yang mampan dicadangkan untuk menangani pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurut Standard Chartered (StanChart).

Katanya, rasionalisasi perbelanjaan dan memanfaatkan aset (misalnya, kerajaan berharap untuk meraih RM4 bilion daripada penjualan 30 peratus ekuiti Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang yang kerajaan bercadang untuk mewujudkannya) merupakan langkah jangka pendek.

Dalam tempoh terdekat, kerajaan mungkin masih perlu mencari langkah pendapatan baharu untuk menangani pemansuhan GST, selain meningkatkan pematuhan cukai, katanya dalam nota Penyelidikan Global “on the ground” hari ini ketika mengulas cadangan dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan semalam.

Kebergantungan kepada minyak juga terbukti terdedah kepada perubahan dalam pasaran komoditi global manakala langkah-langkah baharu lain dalam Belanjawan 2019 seperti cukai keuntungan hartanah yang lebih tinggi dan cukai gula hanya memberikan sedikit sokongan kepada pendapatan, katanya.

Bagaimanapun, menggembirakan apabila kerajaan menyatakan dalam rangka kerja fiskal jangka sederhana bahawa pendapatan bukan petroleum masih dijangka kekal sebagai sumber pendapatan terbesar, katanya.

Menurut StanChart, kerajaan baharu telah mengekalkan langkah konsolidasi fiskal selain ketelusan lembaran imbangan fiskal yang meningkat, dengan penyelesaian bayaran balik cukai pendapatan dan GST, adalah positif.

Bagi pembaharuan fiskal, antaranya, kerajaan akan mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan manakala Akta Kebertanggungjawaban Fiskal akan dicadangkan pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan tidak terkawal.

Dalam pada itu, konsolidasi fiskal yang perlahan boleh menambah risiko tindakan penarafan negatif berikutan kerajaan baharu berhasrat untuk mengurangkan defisit fiskalnya kepada 3.0 peratus menjelang 2020.

Anggaran defisit fiskal 2018 sebanyak 3.7 peratus dan unjuran defisit fiskal 2019 sebanyak 3.4 peratus lebih tinggi berbanding unjuran kerajaan sebelum ini.

“Kami fikir konsolidasi fiskal yang lebih perlahan daripada jangkaan meningkatkan risiko tindakan penarafan negatif terutamanya kepada Moody’s (A3 stabil) dan penarafan Fitch (A- stabil).

“Agensi ini menjangka Malaysia akan mengekalkan trend konsolidasi fiskal walaupun pengurangan pendapatan daripada langkah menggantikan GST dengan SST,” katanya.

Bagi forex, StanChart berkata pengumuman belanjawan dijangka tidak menjadi pemacu positif kepada ringgit.

Aliran masuk portfolio terus rendah untuk tempoh beberapa bulan menjelang pengumuman belanjawan berikutan pelabur asing memilih untuk menunggu dasar yang lebih jelas daripada pentadbiran baharu.

“Bagaimanapun, dengan sasaran defisit fiskal yang lebih luas daripada jangkaan dan risiko tindakan penarafan negatif, kami fikir tidak mungkin aliran masuk portfolio akan meningkat melainkan sentimen risiko yang lebih luas berubah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast