Cid Harbour, di Pulau Whitesunday merupakan kawasan pelancongan yang diancam dengan jerung. foto Reuters

QUEENSLAND – Seorang lelaki maut selepas diserang oleh seekor jerung di kawasan tumpuan pelancong di Cid Harbour di Pulau Whitesunday.

Ia adalah lokasi sama tempat dua serangan jerung pada September lalu.

Polis berkata, mangsa, 33 tahun, sedang berenang bersama rakannya ketika serangan itu berlaku.

Ketika diselamatkan, kaki dan lengan mangsa mengalami kecederaan dan dia disahkan meninggal dunia di hospital.

“Dia cedera parah selepas digigit, kehilangan darah dan terkena serangan jantung,” kata Ben McCauley, penyelamat dari Queensland.

September lalu, seorang kanak-kanak 12 tahun dan wanita 46 tahun cedera parah dalam serangan berasingan di Cid Harbour dalam tempoh 24 jam.

Kaki kanak-kanak itu kemudian mengalami amputasi.

Seorang pembuat undang-undang tempatan, Jason Costigan berkata, pelancong perlu lebih berpendidikan tentang berenang pada waktu subuh atau senja, ketika jerung menjadi lebih aktif.

Tidak termasuk dua insiden terbaharu itu, serangan jerung telah membunuh seorang dan mencederakan 16 orang lain di Australia tahun ini, menurut Fail Serangan Jerung di Australia. – MalaysiaGazette