Supt R. Sundralingam menunjukkan rampasan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan di Lembah kelang, foto FB Polis Selangor

SHAH ALAM – Polis dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir setengah juta ringgit menerusi lima serbuan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dari 2 Nov hingga 5 Nov lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Supt R. Sundralingam berkata, kesemua serbuan itu turut melibatkan sitaan barangan bernilai RM159,000.

Beliau berkata, bagi kes pertama pada 2 Nov, sepasukan anggota polis daripada pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman membuat serbuan ke atas sebuah kereta di kawasan tempat letak kereta di sebuah kondominium di Kajang, kira-kira 12 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai satu butang di dalam ruangan kotak kecil tempat simpan barang di sebelah kanan stereng kereta tersebut dan apabila butang itu ditekan, bahagian tempat sandar kerusi belakang telah terbuka.

“Di bahagian itu terdapat satu beg plastik berzip mengandungi beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah ketamine yang mempunyai anggaran berat 3,995 gram bernilai kira-kira RM199,750, dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan suspek direman selama seminggu bermula 2 Nov lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Menurut Sundralingam, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes jenayah dan modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah menyembunyikan dadah di dalam ruangan khas di belakang tempat duduk bahagian belakang kereta yang dijadikan sebagai ‘secret compartment’.

Dalam serbuan kedua di kawasan tempat letak kereta di Puchong pada hari sama (2 Nov), beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 26 tahun yang sedang mengangkat kotak minuman dari sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kereta itu telah menjumpai 22 buah botol berpelekat warna kuning bertulis ‘Natsbee Honey Lemon’ mengandungi 11 liter dadah jenis ekstasi dalam bentuk cecair dan satu peket plastik mengandungi 0.88 gram dadah disyaki ketamine daripada poket suspek, dengan nilai keseluruhan RM36,600, serta dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau direman selama seminggu bermula 2 Nov untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB dan modus operandi yang digunakan ialah memasukkan cecair ekstasi ke dalam minuman serta dijual mengikut permintaan, bukan di tempat terbuka,” katanya dan menambah sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM43,000 turut dirampas dalam serbuan itu.

Dalam serbuan ketiga di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya pada 3 Nov lepas, Sundralingam berkata, polis menahan dua lelaki berumur 19 tahun dan merampas beberapa peket plastik mengandungi 545 gram ketulan disyaki ganja bernilai RM1,360, yang ditemui di atas meja makan di ruang tamu pangsapuri tersebut.

Menurut beliau lagi, bagi kes keempat pada hari sama (3 Nov) kira-kira 5 petang, pihaknya merampas tiga batang pokok disyaki pokok ganja setinggi 60 ke 90 sentimeter (cm) di kawasan sebuah institusi pengajian tinggi awam di Serdang, hasil intipan yang dibuat selama dua hari sebelum itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada tangkapan dibuat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 6B ADB yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan minimum enam sebatan.

Dalam serbuan kelima di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 4 Nov lepas, Sundralingam berkata polis merampas lima bungkus bijirin mengandungi 4,870 gram syabu bernilai RM243,500, di tempat penyimpanan kargo KLIA.

“Hasil ‘follow-up’ serta bantuan daripada ejen penghantaran, seorang lelaki warga Nigeria berumur 26 tahun yang menuntut bungkusan itu telah ditahan di Cheras pada 5 Nov, kira-kira 9.40 malam dan suspek yang tidak bekerja direman mulai 6 Nov hingga 12 Nov ini bagi siasatan di bawah Seksyen 39B ADB.

“Modus operandi dalam kes ini adalah dadah disembunyikan dalam bungkusan makanan yang dihantar melalui kargo dari Nigeria menggunakan alamat penerima palsu dan suspek berhubung dengan ejen penghantaran serta menuntut bungkusan yang mengandungi dadah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette