KUALA LUMPUR – Kerajaan komited dan fokus dalam memerangi judi haram secara habis-habisan, malah usaha tersebut bukan sekadar ‘bermusim’ sebaliknya akan berterusan sehingga berjaya mengekangnya kelak.
Itu ikrar Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Azis Jamman untuk membanteras judi haram yang membelenggu masyarakat malah semakin berleluasa serta sukar dikawal.
Kata Mohd Azis, walaupun wujud persepsi tindakan pihak berkuasa hanya sekadar ‘bermusim’ menyebabkan pusat judi haram kembali aktif, namun dengan semangat Malaysia baharu semuanya akan berubah.
“Benar saya sedia maklum dengan operasi ‘bermusim’ ini. Tetapi dengan kerajaan serta semangat baharu ini, saya berjanji kepada anda ianya akan berubah. Persepsi ini akan berubah.
“Kita komited malah operasi serta usaha untuk membanteras judi haram ini akan berterusan dan bukan hanya pada waktu-waktu tertentu. Ini adalah satu proses ‘on going’ dengan bilik operasinya juga 24 jam.
“Saya akan komited dalam isu judi haram ini malah akan membanteras habis-habisan,” tegasnya ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Beliau mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas), Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa adakala usaha membanteras sindiket serta operasi judi haram dilakukan secara besar-besaran dan kadangkala bermusim sehingga menyebabkan ia kembali seperti cendawan tumbuh.
Terdahulu, Takiyuddin melahirkan rasa ‘was was’ berhubung komitmen kerajaan dalam memerangi isu sindiket judi haram yang seolah-olah tidak ada kesudahan apatah lagi pusat operasi berterusan diberikan lesen oleh pihak berkusa.
“Walaupun PDRM mepunyai azam tinggi untuk memerangi perjudian haram ini sejak dulu lagi namun pada masa yang sama operasi dan tindakan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa bersifat ‘seasonal’ atau bermusim. Kadang-kadang dibuat secara banyak sehingga kesannya cukup baik.
“Kadang-kadang pula seperti tidak begitu serius. Tempat-tempat yang ditutup dapat dibuka kembali dan beroperasi kembali dengan lebih agresif lagi. Saya juga ada maklumat pusat operasi yang pada asalnya haram untuk menjalankan operasi diberikan pula lesen untuk jalankan aktiviti ‘halal’.
“Keuntungan mereka juga cukup besar sehingga boleh mencecah RM13 juta sebulan tempat tertentu, mana mungkin mereka mahu berhenti menjalankan operasi judi seperti ini,” katanya.
Mohd Azis menjelaskan, pihaknya juga melalui cabaran serta pelbagai kekangan termasuk menangani judi haram atas talian yang beroperasi di luar negara.
“Sindiket ini menggunakan modus operandi mencari pelanggan untuk promosi aktiviti perjudian melalui media sosial seperti Facebook, Whatsapp, WeChat dan sebagainya.
“Malah walaupun menggunakan sekatan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Mulimedia Malaysia (SKMM) tetapi dengan mudah sahaja operator licik menukar alamat ‘IP’ dalam sekelip masa dan berterusan operasi mereka.
“Kita juga tidak dapat mengambil tindakan terhadap sesiapa yang bermain judi haram ini kerana mereka tidak menggunakan wang ‘fizikal’ sebaliknya alam maya. Kita tidak dapat dakwa mereka sewenang-wenangnya.
“Tidak cukup dengan itu, kita berdepan juga dengan masalah lesen kerana selepas serbuan dibuat, premis itu akan beroperasi kerana mendapat lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Lesen untuk premis dikeluarkan oleh PBT. Kadang-kadang lesen dikeluarkan untuk lesen halal, tetapi di sebalik tabir digunakan untuk aktiviti haram seperti judi atas talian,” ujarnya. –MalaysiaGazette