Jarum yang ditemui oleh pembeli di Australia pada September lalu mencetuskan kebimbangan kepada industri dan penggemar buah itu. foto Agensi

SYDNEY – Seorang wanita ditahan di Queensland berhubung kes penemuan jarum dalam buah strawberi.

Polis berkata, wanita berusia 50 tahun itu ditahan semalam, susulan ‘siasatan menyeluruh’.

Wanita itu dijangka didakwa di mahkamah pada hari ini.

Penyiasatan di seluruh negara telah dilancarkan selepas pembeli terkejut apabila menjumpai jarum di dalam buah strawberi yang dibeli pada bulan September. Terdapat lebih daripada 100 laporan mengenai jarum dalam buah berkenaan.

Berikutan kes itu, para petani terpaksa membuang beribu-ribu tan buah strawberi dan menarik semula jualan.

Kes pertama berlaku di Queensland membabitkan seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit perut selepas makan buah strawberi.

Isu itu mendapat liputan meluas di Australia dan New Zealand hingga Kerajaan Australia meningkatkan tempoh hukuman penjara jika disabit melakukan perbuatan yang menjejaskan hasil buah berkenaan dari 10 hingga 15 tahun.

Industri pertanian strawberi di Australia bernilai A$160 juta (AS$115 juta) setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast