Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menaiki bas dalam lawatan kerja ke Ibu Pejabat BRT Sunway Line, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Kadar tambang transit aliran bas laluan BRT Sunway akan diturunkan sehingga 20 peratus berkuatkuasa 1 Disember ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penurunan itu sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggalakkan rakyat di Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam.

Beliau berkata, dengan potongan 20 peratus itu menjadikan kadar tambang perkhidmatan BRT Sunway turun dari 30 sen hingga RM1.10 bagi satu-satu laluan.

“Misalnya, sebelum ini tambang dari stesen BRT Sunway Setia Jaya ke stesen BRT Mentari ialah RM1.60, mulai 1 Disember ini tambangnya diturunkan kepada RM1.30.

“Begitu juga tambang dari stesen BRT Setia Jaya ke jarak paling jauh iaitu sekitar lima kilometer di stesen BRT USJ 7 dikenakan sebelum ini RM5.40, selepas ini tambangnya RM4.30,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dan meninjau perkhidmatan BRT Laluan Dunway di ibu pejabat BRT Sunway Line di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Shah dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Menurut Anthony Loke, daripada taklimat yang disampaikan kepadanya, jumlah penumpang BRT Laluan Sunway sehari mencecah kira-kira 11,000 orang melibatkan lapan bas.

Katanya, dalam satu hari hanya enam bas yang beroperasi, manakala dua lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

“Saya telah membuat lawatan ini untuk mencuba semua sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Satu persatu saya telah mencuba dan melihat sendiri keadaannya dan memang BRT Laluan Sunway ini antara paling baru yang beroperasi.

“BRT ini sudah tiga tahun beroperasi dan basnya masih baharu serta menggunakan perkhidmatan bas elektrik.

“Dalam lawatan dan pertemuan saya dengan pihak Prasarana, RapidKL, BRT Sunway dan juga Sunway Group, saya telah mengenal pasti beberapa cabaran yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

Antaranya kata beliau, rungutan penumpang berhubung kadar tambang yang dikatakan agak tinggi.

Menurutnya, masalah itu akan diatasi dengan menurunkan sebanyak 20 peratus.

Mengenai warga asing yang mengambil kesempatan menggunakan perkdhidmatan bas dengan tambang rendah, Anthony Loke berkata, mereka menggunakan kadar sedia ada.

“Warganegara yang hendak menggunakan perkhidmatan ini boleh tambah nilai tambang mereka dengan Mykad.

“Selepas ini, mereka hanya perlu melekapkan Mykad pada mesin pengimbas, dan harga tambang yang dikenakan adalah mengikut potongan 20 peratus.

“Sebab itu, saya galakkan warganegara Malaysia menambah nilai token untuk perkhidmatan BRT Laluan Sunway ini menggunakan Mykad,” katanya. – MalaysiaGazette