Mangga harumanis jadi kegilaan ramai.

KUALA LUMPUR – Gara-gara terliur mangga harumanis, seorang guru di Terengganu berputih mata selepas wang simpanan Tabung Haji (TH) mencecah RM10,000 `disedut’ sindiket pembelian dalam talian tidak wujud.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata wanita berusia 46 tahun pada awalnya melihat iklan penjualan harumanis menerusi media sosial, Rabu lalu.

Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu menghubungi suspek melalui WhatsApp dan diminta memuat turun satu aplikasi bagi membuat tempahan buah berkenaan.

“Setelah mengisi semua maklumat diri, mangsa telah menerima kod respons pantas (QR) bagi tempahan itu dan diminta untuk menghantarkan kepada suspek.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon menyebabkan telefon bimbitnya terpadam dengan tiba-tiba sebelum aktif semula beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Azli berkata keesokan hari mangsa mendapati wang simpanannya sebanyak RM9,998.51 dalam akaun TH lesap.

Selepas disemak, mangsa mendapati berlaku dua transaksi wang dari akaun TH ke akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke satu akaun bank lain yang tidak dikenali.

“Mangsa membuat laporan pada 6.35 pagi Khamis lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast