Lawrence Low.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaan pelarasan harga bahan api secara mingguan menerusi Mekanisme Harga Automatik (APM) susulan turun naik harga minyak dunia yang dipengaruhi ketegangan geopolitik dan risiko gangguan bekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, pendekatan sedia ada menyebabkan perubahan harga minyak antarabangsa disalurkan dengan pantas kepada pengguna tempatan.

Menurutnya, kenaikan harga bahan api bukan hanya memberi kesan kepada pengguna kenderaan, malah turut meningkatkan kos pengangkutan, logistik, pertanian, pembuatan, makanan dan perkhidmatan, selain mewujudkan ketidaktentuan kepada sektor perniagaan.

“Walaupun harga minyak antarabangsa boleh berubah setiap hari, ekonomi domestik tidak seharusnya turut berubah mengikut pergerakan itu setiap minggu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harga RON95 tanpa subsidi meningkat daripada RM3.77 seliter bagi tempoh 3 hingga 9 September kepada RM4.02 seliter pada 10 hingga 16 September, sebelum melonjak 35 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 17 hingga 23 September.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan kerangka penetapan harga yang lebih stabil dengan menggunakan purata bergerak bagi tempoh beberapa minggu bagi meredakan kesan lonjakan sementara harga minyak dunia.

Jelas Lawrence, langkah berkenaan tidak bermaksud membekukan harga atau mewujudkan subsidi pukal secara kekal, sebaliknya bertujuan menyerap kejutan harga dalam jangka pendek sambil mengekalkan kaitan dengan harga pasaran antarabangsa.

“Julat turun naik harga juga boleh ditetapkan bagi mengehadkan kenaikan atau penurunan mendadak dalam satu-satu tempoh, sekali gus membolehkan perubahan besar dilaksanakan secara berperingkat.

“Dana penstabilan harga pula boleh mengumpul sumber ketika harga minyak rendah dan menyediakan bantuan sementara apabila harga melonjak,” katanya.

Lawrence berkata, pengalaman Thailand menerusi Oil Fuel Fund dan pendekatan Chile yang menggunakan harga sasaran, purata bergerak serta julat harga wajar dikaji bagi melihat kesesuaiannya dengan keadaan Malaysia.

Pada masa sama, katanya, kestabilan harga bahan api perlu disokong dengan pembentukan rizab petroleum strategik bagi memastikan bekalan fizikal bahan api terjamin sekiranya berlaku gangguan bekalan antarabangsa.

Beliau berkata, usaha menstabilkan harga bahan api adalah langkah jangka pendek, manakala pengurangan kebergantungan terhadap minyak merupakan penyelesaian jangka panjang.

“Kerajaan perlu menilai semula dasar cukai kenderaan elektrik (EV) serta menyediakan insentif bersasar bagi menggalakkan penggunaan EV yang mampu milik dan cekap tenaga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here