JOHOR BAHRU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan tindakan UMNO yang melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak memandangkan bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dihukum kerana terbukti melakukan jenayah berat dan serius.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda melihat tindakan ‘solidatiri’ itu dengan penuh persoalan yang didakwa bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta yang menjadi syarat kepada pengampunannya.
“Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu disolidaritikan oleh UMNO? Najib bukan sedang dihukum kerana memperjuangkan rakyat. Beliau telah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International. Sabitan tersebut kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Jadi mengapa kepimpinan UMNO begitu bersungguh-sungguh meminta rakyat dan ahli parti mengeluarkan wang mereka untuk membantu membayar denda seorang pemimpin yang telah melalui proses kehakiman dan disabitkan bersalah,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika UMNO mempunyai kemampuan menggerakkan jentera sehingga ratusan ribu ringgit dapat dikumpulkan dalam masa beberapa jam, mengapa kekuatan yang sama tidak digerakkan untuk membantu negara memulihkan kerugian akibat skandal kewangan yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
“Di manakah tabung solidariti untuk rakyat Malaysia? Di manakah kutipan besar-besaran untuk membantu memulihkan dana negara,” soalnya.
Ahli Jawatankuasa Amanah Johor itu secara sinis turut mempersoalkan sama ada UMNO sedar skandal 1MDB menyebabkan negara kerugian lebih RM50 billion dengan lebih RM20 bilion kerugian yang tidak boleh dikembalikan.
“Tahukah Dr Asyraf Wajdi bahawa dengan jumlah RM20 bilion itu sekurangnya 10 hospital pakar, 100 klinik kesihatan, 150 sekolah, 40,000 unit rumah rakyat dan lebih RM100 juta dapat diperuntukkan oleh kerajaan,” soalnya lagi.
Jelas beliau, pihaknya menghormati kuasa dan keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib, namun pengampunan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa sabitan jenayah dalam kes SRC yang telah diputuskan melalui proses mahkamah.
“Akhirnya rakyat mungkin beranggapan bahawa apabila seseorang itu cukup berpengaruh, parti akan mengelilinginya, mengutip wang untuknya dan menjadikan hukuman mahkamah sebagai satu perjuangan politik.
“Mungkin dalam kes buli MRSM, Dr Asyraf Wajdi terkenal dengan frasa you touch you go, tapi dalam kes kecurian oleh Najib ini, you steal we help,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















