KLUANG – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah dalam kemalangan dua buah kenderaan di kilometer 10, Jalan Kluang-Teck Wah Heng berhampiran kilang Guocera di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian pukul 1.50 petang itu melibatkan Tai Ah Kau, 77, yang menaiki kereta Proton Wira bersama-sama isterinya Tjihin Sioe Lan, 70.
“Mereka dalam perjalanan dari arah bandar Kluang ke Simpang Renggam, manakala kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 26 tahun datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Toyota Camry secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Wira dinaiki pasangan warga emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Ah Kau cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, isteri mangsa cedera parah di bahagian kepala dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Menurut Nik Mohd Azmi, pemandu Toyota Camry cedera di bahagian tangan kanan, rusuk sebelah kanan, leher serta dada menerima rawatan di Zon Kuning HEBHK.
“Mayat mangsa dirujuk ke unit forensik HEBHK untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- MalaysiaGazette
















