Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan akan berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan akan berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) yang telah dibubarkan selepas Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan akan berfungsi sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu MalaysiaGazette, dengan itu, MPN lagi tidak tertakluk di bawah mana-mana agensi kerajaan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas kertas cadangan yang dikemukakan bagi mengembalikan semula MPN kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah ditolak.

“MPN telah mengemukakan kertas cadangan baharu tetapi ditolak. Kerajaan tidak dapat menerima cadangan MPN dan MPN juga tidak dapat memenuhi ‘kehendak’ Kerajaan Pakatan Harapan.

“Apabila masing-masing tidak dapat menerima, jadi pembubaran yang diumumkan Mei lalu disahkan,” kata sumber itu.

MPN ditubuhkan pada 10 tahun lalu atas inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi bertujuan merakyatkan ilmu yang ada di universiti, selain menggunakan kepakaran kumpulan pemikir negara dalam menyumbang idea, menyusun strategi dan mengatur tindakan bagi kebaikan negara.

MPN pernah berada di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Pengajian Tinggi sebelum diletakkan di Jabatan Perdana Menteri.

Pengumuman pembubaran MPN dibuat oleh Dr Mahathir pada 23 Mei lalu, pada mesyuarat Kabinet pertama dengan alasan organisasi itu telah jauh menyimpang daripada objektif penubuhannya kerana ada dalam kalangan ahli-ahli MPN menyokong pemimpin politik tertentu.

Ditanya adakah MPN akan membuat sebarang rayuan kepada kerajaan, sumber berkata, sebagai sebuah badan pemikir, MPN telah menerima keputusan kerajaan dengan hati terbuka.

“Sudah tentu sedih kerana kami berpendapat kerajaan telah melatah apabila membuat keputusan untuk membubarkan MPN pada peringkat awal.

“Ini kerana, keputusan itu dibuat tanpa ada sebarang pertemuan bagi mendengar penjelasan daripada pihak MPN.

“Dan, apabila kertas cadangan bagi memperbaiki peranan MPN ditolak, kami terima. Pada MPN, kerajaan sewajarnya meraikan perbezaan pandangan.

“Dalam satu organisasi sudah tentu ada ahli-ahli yang berbeza pandangan, pendirian dan sebagainya. Perkara itu perlu dihormati selaras dengan kebebasan hak bersuara dan sistem demokrasi yang diangkat oleh Malaysia,” tambahnya.

Menurutnya, MPN kini dalam proses keluar dari JPM dan akan beroperasi di Country Heights Kajang.

Sumber berkata, MPN tidak ada masalah berfungsi sebagai NGO cuma mungkin ada kekangan dalam mendapatkan dana.

“Maka, perkara itu (dana) akan kita usahakan. Mungkin MPN akan mengkomersialkan perkhidmatan dan kepakaran yang ada,” ujar beliau sambil memberitahu pengumuman kedudukan MPN akan dibuat tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast