LONDON – Chelsea berdepan tindakan penggantungan dua tahun ekoran siasatan berhubung pembelian pemain Bertrand Traore.
Pegawai dari Unit Integriti dan Pematuhan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengambil masa tiga tahun meneliti kes pembelian Traore dan 13 lagi pemindahan pemain melibatkan kelab London itu dan pemain bawah 18 tahun.
Menurut portal berita Perancis, unit itu mengesahkan Chelsea pernah didenda £45,000 pound (RM245,000) dan dikenakan sekatan dalam urusan pembelian untuk empat musim.
Salah satu musim pemindahan dan pembelian pemain oleh Chelsea berkaitan dengan Traore manakala tiga lagi musim melibatkan 13 kesalahan.
FIFA sedang menyiasat beberapa lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkaitan kesalahan yang sama.
Traore menandatangani kontrak profesional yang pertama bersama Chelsea pada September 2013 ketika berusia 18 tahun.
Dia didaftarkan pada jendela perpindahan musim sejuk Januari 2014.
Bagaimanapun siasatan FIFA menemui bukti bahawa Chelsea memberi maklumat yang tidak tepat berkenaan tarikh sebenar pembelian pemain muda itu.
Traore beraksi untuk Chelsea pada usia 16 tahun bersama pasukan bawah 18 tahun menentang Arsenal.
Kelab itu juga mengakui mereka membayar ibu pemain itu sebanyak £155,000 pound (RM844,567) pada April 2011 untuk menuntut opsyen menandatangani pemain remaja itu.
Bayaran tambahan berjumlah £13,000 pound (RM70,833) dibayar kepada kelab asal pemain itu AJE Bobo Dioulasso yang dipengerusikan ibu Traore.
Chelsea dalam satu kenyataan semalam berkata:” Kelab telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada FIFA dan menyediakan bukti pematuhan syarat FIFA. Maka kami tidak akan komen lanjut dalam perkara ini”.- MalaysiaGazette