Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia berjaya mengangkap lapan suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas.

Kesemua suspek yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga Filipina itu dicekup dalam serbuan di antara 30 Oktober hingga 12 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama pada 30 Oktober lalu di Putrajaya melibatkan seorang ejen menjual jongkong emas warga tempatan berusia 38 tahun kerana disyaki terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal (warga Malaysia yang menyertai Daesh di Syria) pada tahun 2017 bagi membiayai aktiviti keganasan.

“Dalam tangkapan kedua pada 1 November lalu di Tenom Sabah, tiga suspek warga Filipina berusia antara 27 hingga 51 yang bekerja sebagai buruh dicekup selepas disyaki menganggotai kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kidnapping for ransom (KFR) di Selatan Filipina dan Sabah.

“Salah seorang suspek berusia 34 tahun mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api untuk kegunaan kumpulan Abu Sayyaf,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi tangkapan ketiga pada 8 November lalu di Ranau Sabah melibatkan dua lagi suspek Filipina berusia 35 tahun dan 46 tahun masing masing bekerja sebagai buruh serta juruteknik.

Katanya, kedua-dua suspek merupakan anggota Abu Sayyaf dan terlibat dalam kegiatan keganasan di Selatan Filipina dan Sabah.

“Suspek berusia 35 tahun itu berperanan merekrut kanak-kanak menyertai Abu Sayyaf dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan Tentera Filipina di Basilan, Selatan Filipina selain berperanan memenggal kepala tebusan.

“Semasa ditangkap, kedua dua suspek merancang melarikan diri ke Selatan Filipina untuk dielak daripada ditangkap pihak berkuasa Malaysia,” ujarnya.

Pada tangkapan keempat yang dibuat pada 10 November di Kinarut, Sabah pula seorang suspek tukang besi warga Filipina berusia 30 tahun juga disyaki komander kumpulan Abu Sayyaf serta orang kanan Furuji Indama, pemimpin kanan Abu Sayyaf berjaya ditahan.

“Manakala dalam serbuan kelima, pasukan polis pada 12 November lalu berjaya menahan seorang lagi suspek warga Filipina yang merupakan peniaga pasar malam berusia 60 tahun di Tenom Sabah.

“Suspek ditahan kerana cuba melidungi salah seorang suspek yang ditangkap pada 8 November lalu semasa cuba melarikan diri daripada buruan polis.

“Kesemua mereka ditangkap mengikut Bab VIA Kesalahan Berkenaan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta574) dan akan disiasat mengikut Prosedur di Bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 ( Akta 747),” tegas Mohamad Fuzi.- MalaysiaGazette