KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diminta supaya tidak mengamalkan sikap ‘berat sebelah’ dengan hanya mendengar satu pihak sahaja sebelum membuat sebarang kenyataan.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran mohon ‘mentaliti’ pembangkang yang pada pemimpin DAP itu segera diubah dan jangan buat keputusan melulu yang akhirnya memalukan diri sendiri.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette hari ini berhubung kenyataan Anthony yang mendakwanya menceroboh ruang keselamatan dengan melalui kawasan laluan VIP tanpa menjalani prosedur pemeriksaan badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Hari ini, Anthony dalam sidang media mendedahkan seorang orang kenamaan di Dewan Negara didapati telah melanggar peraturan keselamatan di KLIA pada 14 November lepas.
Malah jelas Vigneswaran yang juga Presiden MIC itu, kenyataan memburukkan beliau adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mengakui mungkin akan mengambil tindakan perundangan.
Kata Vigneswaran, beliau tidak dihubungi langsung untuk sebarang penjelasan mengenainya dan hanya mengetahui apabila beliau dituduh menceroboh dan melanggar peraturan keselamatan di KLIA.
Jelasnya, beliau tidak melanggar sebarang peraturan keselamatan malah anggota keselamatan juga tidak mempunyai masalah dengan beliau sebaliknya protokol pemakaian selipar itu yang menjadi isu.
“Saya memakai selipar kerana ada bisul kecil di kaki ketika itu dan langsung tidak dinyatakan dalam pekeliling itu yang pemakaian selipar tidak boleh. Saya juga bukan menggunakan bilik VVIP sebaliknya hanya menggunakan laluan VVIP untuk menghantar anak saya ke luar negara.
“Sebelum ini, saya boleh menghantar wakil iaitu isteri saya atau pembantu tapi undang-undang yang baharu ini mahu saya ada di situ. Pemakaian saya semuanya betul. Tidak ada masalah keselamatan di situ.
“Sebenarnya, saya bukan seorang warganegara atau pemimpin yang menyalahgunakan kuasa atau jawatan sedia ada. Sebaliknya, saya sangat menghormati undang-undang. Saya juga tidak minta kemudahan untuk diri saya kemudian menyalahguna seperti yang didakwa.
“Saya bertanyakan kepada pegawai mengapa tidak dinyatakan tentang pemakaian selipar.? Setahu saya, boleh sahaja pakai selipar ketika menggunakan bilik sembahyang di lounge VVIP itu. Mengapa kini sudah lain? Saya dimaklumkan kerajaan sudah bertukar dan caranya lain.
“Tidak apa, tetapi janganlah tonjolkan kita seperti begitu sekali sehingga menceroboh keselamatan dan sebagainya, dengar juga di pihak saya. Kena adil sikit,” tegasnya.
“Sudah terang lagi bersuluh dalam rakaman CCTV itu menunjukkan saya sebelum melalui pemeriksaan keselamatan, saya letakan telefon bimbit saya sebelum lalui kawasan itu supaya tidak berbunyi.
“Sekiranya anda lihat betul-betul, ia tidak berbunyi atau saya juga tidak berdolak dalih mengatakan enggan di periksa. Itu yang seringkali kita lakukan sebelum ini. Malah pegawai keselamatan juga tidak berkata apa-apa. Pada fikiran saya tiada masalah.
“Ini adalah kebiasaan, saya buat seperti yang menjadi amalan sebelum ini, saya bukan memberontak atau bergaduh atau membawa masuk apa-apa terlarang dan sebagainya. Jangan cerminkan yang sebaliknya.
“Pemakaian selipar ini dijadikan satu isu sebenarnya. Bagaimana pula pihak yang mengerjakan umrah dan yang ingin melakukan upacara sembahyang yang tidak dapat mengenakan kasut? Apakah protokol ini akan diguna pakai? Bukan saya yang membuat isu, anda yang mencari isu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Vigneswaran juga mendedahkan setiausaha sulitnya, Suresh Ramasamy telah menghantar surat aduan kepada pihak berwajib tentang insiden itu keesokan harinya.
“Saya tanya anda, jika saya lakukan kesalahan dan langgar peraturan, mengapa pula saya menghantar surat aduan tentang insiden itu esok hari? Dalam surat itu saya nyatakan sekali apakah masalah yang terjadi.
“Saya nyatakan dengan jelas dalam surat itu penjelasan tentang larangan penggunaan selipar. Saya nyatakan penumpang terutamanya yang bakal menaiki penerbangan untuk tempoh lama perlu berpakaian selesa dan peraturan seperti itu tidak perlu di amalkan melainkan pemberitahuan awal,” katanya.
Pada Oktober lalu, Anthony mengumumkan prosedur pemeriksaan yang lebih ketat termasuk pemeriksaan oleh Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen akan dilaksanakan di laluan VIP di semua lapangan terbang bagi memastikan laluan berkenaan tidak disalahguna.
Beliau dalam pada itu meminta orang kenamaan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana melanggar peraturan keselamatan di KLIA.- MalaysiaGazette